ARKIB : 02/06/1998
Khaidir ambil alih tugas
Weigang
KHAIDIR Buyong akan mengambil
alih tugas Karl Weigang sebagai jurulatih selama tiga minggu mulai pertemuan
Perak dengan Kuala Lumpur di Stadium Perak, Ipoh malam ini.
Sebelum ini, Khaidir yang
menjadi penolong Weigang sejak tahun lalu dipindahkan menjadi jurulatih Piala
Presiden mulai Rabu lalu.
Weigang pula akan berlepas ke
Paris hari ini untuk menerima anugerah khas dari Persekutuan Bola Sepak
Antarabangsa (FIFA) kerana jasa-jasanya dalam meningkatkan mutu bola sepak.
Selepas itu, jurulatih dari
Jerman tersebut akan melaksanakan beberapa tugas yang diberikan oleh FIFA di
Pyongyang, Korea Utara.
Weigang akan kembali semula
menerajui skuad Kejor-Yop-Kejor pada akhir bulan ini.
Bekas jurulatih kebangsaan
Vietnam itu telah menjadi sasaran para penyokong Seladang apabila Perak
mempamerkan persembahan terburuk dalam beberapa perlawanan lalu.
Pengurus Pasukan, Datuk Raja
Ahmad Zainuddin Raja Omar mengesahkan peralihan tugas tersebut selama ketiadaan
Weigang selama tiga minggu.
Sementara itu, Raja Ahmad
memberitahu pemain pertahanan, Khairul Anuar Baharom diberi peluang terakhir
menyarung jersi Perak.
''Pemain pertahanan tersebut
bersedia menerima syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak pengurusan Perak,''
kata Raja Ahmad di Ipoh semalam.
Khairul bersama-sama Janos
Krecska, Noel Kipre dan Lim Seng Kong digantung apabila mempamerkan persembahan
buruk dua minggu lalu.
Namun begitu, Krecska, Kipre
dan Seng Kong dibenarkan beraksi semula Sabtu lalu setelah menerima
syarat-syarat yang ditetapkan.
Pengurus pasukan itu berkata,
pihak pengurusan tidak teragak-agak mengambil tindakan keras terhadap mana-mana
pemain terus mempamerkan persembahan buruk masa akan datang.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4Js5LyYdp
© Utusan Melayu (M) Bhd