Sabtu, 10 September 2016

Khaidir ambil alih tugas Weigang

ARKIB : 02/06/1998
Khaidir ambil alih tugas Weigang
KHAIDIR Buyong akan mengambil alih tugas Karl Weigang sebagai jurulatih selama tiga minggu mulai pertemuan Perak dengan Kuala Lumpur di Stadium Perak, Ipoh malam ini.

Sebelum ini, Khaidir yang menjadi penolong Weigang sejak tahun lalu dipindahkan menjadi jurulatih Piala Presiden mulai Rabu lalu.

Weigang pula akan berlepas ke Paris hari ini untuk menerima anugerah khas dari Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana jasa-jasanya dalam meningkatkan mutu bola sepak.

Selepas itu, jurulatih dari Jerman tersebut akan melaksanakan beberapa tugas yang diberikan oleh FIFA di Pyongyang, Korea Utara.

Weigang akan kembali semula menerajui skuad Kejor-Yop-Kejor pada akhir bulan ini.

Bekas jurulatih kebangsaan Vietnam itu telah menjadi sasaran para penyokong Seladang apabila Perak mempamerkan persembahan terburuk dalam beberapa perlawanan lalu.

Pengurus Pasukan, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar mengesahkan peralihan tugas tersebut selama ketiadaan Weigang selama tiga minggu.

Sementara itu, Raja Ahmad memberitahu pemain pertahanan, Khairul Anuar Baharom diberi peluang terakhir menyarung jersi Perak.

''Pemain pertahanan tersebut bersedia menerima syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak pengurusan Perak,'' kata Raja Ahmad di Ipoh semalam.

Khairul bersama-sama Janos Krecska, Noel Kipre dan Lim Seng Kong digantung apabila mempamerkan persembahan buruk dua minggu lalu.

Namun begitu, Krecska, Kipre dan Seng Kong dibenarkan beraksi semula Sabtu lalu setelah menerima syarat-syarat yang ditetapkan.

Pengurus pasukan itu berkata, pihak pengurusan tidak teragak-agak mengambil tindakan keras terhadap mana-mana pemain terus mempamerkan persembahan buruk masa akan datang.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4Js5LyYdp © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan