Isnin, 5 September 2016

Perak, Sarawak kongsi mata

ARKIB : 10/05/1998
Perak, Sarawak kongsi mata
KETANGKASAN penjaga gol Perak, Zambri Mohd. Arif menggagalkan percubaan serangan Sarawak membolehkan pasukannya berkongsi mata apabila seri 0-0 dalam perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Sarawak, Kuching, malam tadi.

Zambri menafikan banyak percubaan bahaya pasukan lawan yang menyaksikannya terpaksa melayangkan badan menyelamatkan gawangnya.

Babak kedua tidak kurang hebatnya sehingga memaksa penonton terpaku berdiri empat minit selepas disambung semula apabila menyaksikan tandukan Bobby Pian sedikit melepasi palang gol hasil sepakan sudut Ramles Sari.

Sementara itu di SABAH, pasukan tuan rumah meneruskan kecemerlangan apabila menewaskan Kedah 2-1 di Stadium Likas.

Gol pasukan tuan rumah diperoleh pada minit ke-40 menerusi David Rocastle dan Yap Wai Loon minit ke-50 manakala gol Kedah diperoleh seminit sebelum berakhir perlawanan menerusi Andre Luis Nascimento.

Sabah membuka jaringan lima minit sebelum waktu rehat. Wai Loon melintangkan bola dari sebelah kiri ke kawasan petak penalti dan David yang tidak dikawal melonjak tinggi untuk menjaringkan gol.

Lima minit selepas waktu rehat, perancang utama Wai Loon menambah gol kedua hasil hantaran cantik Harun Laban yang gagal diselamatkan penjaga gol, R. Ragesh.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4JNcs9s00 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan