Sabtu, 31 Disember 2016

Juara liga terus jadi hambatan

ARKIB : 15/06/2000
KETIKA pertandingan bola sepak Euro 2000 yang sedang hangat berlangsung menjadi tumpuan, pusingan pertama Liga Perdana Satu berakhir kelmarin dengan Perak mengambil giliran selaku pemimpin baru selepas pertarungan sengit dengan pendahulu sebelumnya, Selangor memihak kepada skuad Seladang.

Perak, juara Piala Malaysia 1998 kini memiliki kelebihan dua mata di depan Selangor sebelum mengharungi 11 lagi perlawanan dalam pusingan kedua bermula Sabtu ini.

Kemenangan tipis 1-0 ke atas Red Giants di gelanggang sendiri sekaligus melebarkan kemenangan kali ketujuh buat Perak yang hanya mencatat satu kekalahan sepanjang pusingan pertama berbanding Selangor yang mencatat tiga kekalahan.

Begitupun, kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi Sabtu ini dan Selangor pasti tidak akan melepaskan peluang untuk merampas semula kedudukan tangga teratas selepas menguasainya hampir sebulan.

Namun apa yang pasti kedudukan Perak dan Selangor sebenarnya tidak selamat.

Pasukan di tangga ketiga, Pulau Pinang yang terlepas mahkota Piala FA minggu lalu selepas tewas 4-3 kepada Terengganu, masih berupaya untuk meneruskan langkah memburu gelaran liga.

Skuad bimbingan Irfan Bakti di tangga ketiga dengan 19 mata, dipisahkan hanya enam mata di belakang Perak dan tiga mata dengan Selangor.

Turut mengekori rapat tiga pasukan itu ialah Sarawak, Negeri Sembilan dan juara Piala FA yang baru, Terengganu.

Tiga pasukan ini masih berpeluang untuk mencabar kedudukan Perak mahupun Selangor dan Pulau Pinang.

Namun Pahang, Perlis, Kuala Lumpur, Johor dan Sabah masing-masing terpaksa bersaing dalam usaha untuk mengelak daripada terjerumus di tangga terbawah liga yang kini dihuni oleh Sabah dan Brunei.

Bagi Brunei yang mencipta sejarah menjulang Piala Malaysia musim lalu bagaikan tidak bermaya mengharungi aksi awal tahun ini.

Tanpa dua ayam tambatan Brian Bothwell dan Patron Akakpo, Brunei terjerumus di tangga terbawah liga apabila hanya meraih satu kemenangan ke atas Sabah kelmarin.

Bagi Brunei hanya keajaiban mampu mengembalikan semula rentak mereka berbaki 11 perlawanan untuk menyapu bersih semua kemenangan bagi menjamin kedudukan dalam Piala Malaysia.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4UU0rfQ00 © Utusan Melayu (M) Bhd

Giliran Perak terajui liga

ARKIB : 14/06/2000
PERAK merampas kedudukan tangga teratas bola sepak Liga Perdana Satu selepas menewaskan pendahulu sebelumnya, Selangor 1-0 di Stadium Perak, Ipoh, semalam.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh bekas penyerang kebangsaan, Mohd. Khalid Jamlus pada minit ke-10 menerusi tandukan kencang hasil satu hantaran silang dari sebelah kanan.

Ia adalah kemenangan ketujuh buat Perak untuk mengumpul 24 mata, mengatasi Selangor yang kekal 22 mata.

Sementara itu, sepakan penalti yang dihadiahkan kepada Kuala Lumpur tiga minit sebelum permainan tamat, menyelamatkan skuad tuan rumah dari berkongsi mata dengan Johor untuk meraih kemenangan 2-1 di Stadium KLFA di Cheras.

Kuala Lumpur sebelum itu terpaksa bangkit dari ketinggalan pada awal aksi babak pertama apabila ketua pasukn pelawat, Rizal Sukiman membuat jaringan pada minit keenam.

Bagaimanapun, Yuzaiman Zahari meletakkan pasukannya kembali bersaing apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-17.

Tuah nyata menyebelahi tuan rumah apabila pengadil perlawanan Kassim Kadir Bacha dari Melaka menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-87 selepas pertahanan Johor, Asri Buniran menjatuhkan penyerang kebangsaan Nizaruddin Yusof dalam kotak penalti.

Jayaprakash yang diberikan tanggungjawab, tidak menghadapi masalah untuk menewaskan penjaga gol kebangsaan, Mohd. Sany Fahmi untuk memberikan kemenangan pertama buat jurulatih sementara Lim Kim Lian.

Kuala Lumpur yang kehilangan jurulatih Mat Zan Mat Aris dan penolongnya Tang Siew Seng minggu lepas bermain kurang kemas untuk membuka ruang buat Johor mengasak.

Akibat kelalaian pertahanan tuan rumah, Azlan Hussain yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan penalti, Rizal tidak mensia-siakan peluang untuk menewaskan penjaga gol, Jamsari Sabian dengan gol sulung perlawanan pada minit keenam.

Kejutan gol awal itu segera membangkitkan semangat Kuala Lumpur dan hanya dua minit selepas percubaan Fadli Yusof diselamatkan oleh Sany, Yuzaiman tidak melepaskan peluang pada minit ke-17 menerusi rembatan kencang.

Jaringan itu berpunca daripada sepakan sudut kiri Mohd. Shawal Johadi dan selepas mendada bola, penyerang itu melepaskan sepakan leret untuk menewaskan Sany.

Permainan selepas itu agak seimbang tetapi Kuala Lumpur lebih bernasib baik untuk mengutip mata penuh setelah kesilapan Asri mengasari Nizaruddin dalam kotak penalti.


SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0614&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4UTxFLWLf © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 25 Disember 2016

Giliran Abdul Hadi sertai Bos Gaurus

JUMAAT, 23 DISEMBER 2016 @ 8:36 PM
Oleh Azizan Hashim bhsukan@bh.com.my PEMAIN Selangor, Abdul Hadi Yahya. - Foto Rozainah Zakaria

IPOH: Seorang lagi pemain Selangor menyertai dua rakannya, Shahrom Kalam dan Hafiz Kamal, mewakili skuad Perak untuk musim 2017 Liga Malaysia. Kehadiran Abdul Hadi Yahya itu disahkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, hari ini. 

Pengambilan Abdul Hadi melengkapkan pencarian Bos Gaurus terhadap pemain tempatan selepas turut mendapat khidmat Nazrin Nawi, Jasazril Jamaluddin, Mohd Zaqwan Abd Radzak dan Idris Ahmad.

 "Pencarian Perak sudah lengkap. Hadi adalah pemain luar terakhir diambil.  "Kini, ada satu lagi kekosongan. Ia diperuntukkan untuk pemain tempatan," katanya.  Dalam perkembangan lain, Abdul Puhat berkata, Naib Presiden I PAFA, Datuk Rashidi Ibrahim dilantik sebagai pengurus pasukan gantian bagi membantu Datuk Jamal Mohd Aris.  Katanya, Rashidi akan menggantikan Jamal jika Setiausaha PAFA itu tidak hadir pada sebarang perlawanan.


Sumber-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/226661

Khamis, 22 Disember 2016

Perak belasah Johor 8-1

ARKIB : 21/05/2000
PERAK mencipta rekod kemenangan besar apabila membelasah Johor 8-1, sementara Selangor kekal di tangga teratas selepas menang 2-0 ke atas Brunei dan Pahang pula meraih kemenangan dengan jaringan minit terakhir dalam tiga aksi bola sepak Perdana Satu yang berlangsung, semalam.

Selangor harus menjadi sebuah pasukan digeruni dalam kempen musim ini apabila terus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas berikutan kemenangan ke atas Brunei 2-0 di Stadium Shah Alam, semalam.

Ia adalah kemenangan keenam bagi naib juara Perdana Dua musim lalu itu daripada lapan perlawanan dan memberikan kekalahan keenam buat Brunei dalam liga.

Selangor kini mengutip 19 mata, enam mata di depan pencabar terdekat, Pulau Pinang yang tidak beraksi semalam.

Brunei cuma mengutip dua mata daripada dua keputusan seri untuk terus menghuni tangga terbawah.

Pemain pertahanan Selangor, Lim Chan Yew membuka jaringan pada minit ke-17 sebelum penyerang kebangsaan, Rusdi Suparman menggandakan gol buat Red Giant pada minit ke-77.

Rusdi seharusnya berjaya menyumbat tiga gol jika segala peluang yang dimilikinya pada awal babak pertama dan akhir babak kedua tidak dipersia-siakan.

Namun, Chan Yu yang lebih dulu mencuri tumpuan apabila sentuhannya di depan gawang lawan menyumbangkan gol pembukaan perlawanan.

Gol berpunca daripada tendangan sudut Jaafar Salleh yang ditanduk ke belakang oleh K. Sanbagamaran sebelum bola jatuh di kaki Chan Yu yang pantas menolak masuk di celah-celah pemain pertahanan Brunei.

Rakan penyerang Rusdi, Zami Mohd. Noor agak tenggelam aksinya semalam. Pemain itu hanya berupaya melepas satu tendangan kencang pada minit ke-43, tetapi bola melepasi tinggi atas palang gol Brunei.

Di Stadium Perak, pasukan tuan rumah berpesta gol apabila membelasah Johor 8-1. Perak mendahului 4-1 pada separuh masa pertama.

Gol Perak dijaringkan oleh Azrul Amri Burhan (18), V. Saravanan (24), Chan Wing Hong (36, 79), Syamsol Saad (45), Shahrulnizam Sahat (63, 67) dan Liew Kit Kong pada minit ke-82.

Gol tunggal Johor diperoleh menerusi Liew Kim Tu pada mint ke-39.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, jaringan minit terakhir oleh pemain gantian, Wan Ahmad Ridzuan Hussin menyelamatkan Pahang daripada kempunan mengutip mata penuh sekali gus membantu juara bertahan itu menewaskan Sarawak 1-0.

Kemasukan Ridzuan yang menggantikan Shahrin Majid ternyata mendatangkan tuah yang ditunggu-tunggu tuan rumah sesudah memberi aksi hambar.

Tolakan perlahan kaki kirinya yang melepasi pennjga gol Sarawak , Mazlan Wahid sudah cukup untuk meneruskan kebangkitan konsiten Tok Gajah sejak empat perlawanan lalu.

Bagaimanapun, babak awal menyaksikan tuan rumah kembali kepada tabiat lama apabila diulit kegagalan mencipta gerakan berbisa untuk menghibur lebih kurang 3,000 penyokong setia mereka.

Sekalipun melangkah dengan serangan pantas untuk mencari gol terawal, Pahang nyata seperti kurang yakin mengekalkan rentak tersebut untuk tempoh yang lebih lama sejurus kemudian.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0521&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4Ta5L6tHs © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 9 Disember 2016

Perak hampir pasti kehilangan Roslan

ARKIB : 23/09/1999
JUARA bertahan, Perak hampir pasti kehilangan khidmat pemain pertahanan berpengalaman, Roslan Hamid bagi menghadapi saingan Piala Malaysia yang akan bermula 25 September ini, lapor MOHD. TAUFEK RAZAK.

Roslan, 33, yang merupakan pemain berpengaruh dan ketua pasukan Perak sejak dua tahun lalu dikatakan sudah tidak berminat untuk bermain dengan skuad Seladang ekoran wujud perselisihan faham dengan jurulatih, Karl Heinz Weigang.

Dia kini dikatakan berminat untuk menyarung kembali jersi negeri kelahirannya, Johor yang turut layak ke Piala Malaysia musim ini dalam saingan kumpulan B.

Jurucakap Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mengesahkan Roslan sudah tidak turun lagi berlatih dalam sesi latihan yang dikendalikan Weigang sejak kebelakangan ini.

''Kali terakhir dia beraksi untuk Perak ialah pada pusingan pertama kelayakan Piala Malaysia menentang Terengganu di Stadium Perak,'' ujar jurucakap itu.

Sebelum ini katanya, memang ada ura-ura Roslan akan digugurkan daripada skuad Seladang bersama penjaga gol, V. Murugan ekoran persembahan buruk mereka ketika tewas 2-3 kepada Terengganu.

Bagaimanapun kejayaan Perak menghidupkan kembali peluang ke Piala Malaysia menyebabkan PAFA mengambil keputusan 'tunggu dan lihat' mengenai kedudukan Roslan.

Perak tewas 1-2 kepada Melaka, menang 2-1 ke atas Johor FC di tempat lawan dan tewas 2-3 kepada Terengganu di tempat sendiri pada pusingan pertama kelayakan Piala Malaysia lalu.

Namun, mereka bangkit semula di pusingan kedua dengan menang 2-0 ke atas Melaka, 3-1 ke atas Johor FC di tempat sendiri sebelum mengejutkan Terengganu 2-1 di tempat lawan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0923&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4SKi0mRrd © Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 8 Disember 2016

Perak leburkan rekod Melaka

ARKIB : 05/09/1999
JUARA bertahan, Perak menghidupkan kembali sisa-sisa harapan untuk layak ke bola sepak Piala Malaysia apabila meleburkan rekod tanpa kalah pendahulu kumpulan B, Melaka dengan kemenangan 2-0 dalam perlawanan kelayakan di Stadium Perak, Ipoh, semalam.

Menyedari kekalahan akan menutup terus cabaran mereka, pemain Perak turun dengan penuh bersemangat tetapi dicemari sikap tidak profesional jurulatihnya, Karl Heinz Weigang yang mencetuskan ketegangan pada minit ke-65.

Weigang tiba-tiba 'naik minyak' sambil menyerbu dan memarahi pegawai dan pemain Melaka di bangku simpanan selepas pemainnya, Chan Kok Heng dibentes dengan keras dari belakang.

Berikutan itu, permainan jadi tegang sebelum menyaksikan M. Nagaraja dibuang padang pada minit ke-67 kerana menerima kad kuning keduanya dalam perlawanan itu.

Bagaimanapun separuh masa pertama menyaksikan Perak berjaya mendahului 2-0 tetapi terpaksa menunggu hingga minit ke-25 untuk memperoleh gol pertama menerusi Liew Kit Kong sebelum M. Nagaraja menambah satu lagi gol pada minit ke-35.

Di Stadium Pasir Gudang, hasrat Johor FC untuk mengutip mata pertama di gelanggang sendiri terus tidak kesampaian apabila tewas 1-3 kepada Terengganu.

Kekalahan itu sekali gus menutup peluang Johor FC untuk melayakkan diri dari kumpulan B ke perlawanan Piala Malaysia musim ini.

Terengganu memperoleh gol pertama pada minit ke-31 menerusi Syamsol Mohd Saad yang menanduk kemas bola hantaran silang Rosdi Talib.

Pasukan pelawat mengatur serangan bertubi-tubi sehingga berjaya melebarkan jaringan sepakan kencang A. Ganeson pada minit ke-36.

Khairuddin Omar menambah derita Johor dengan jaringan ketiga Terengganu minit ke-44.

Gol tunggal Johor FC diperoleh pada minit ke-85 menerusi sepakan Sheikh Ahmad Redzuan.

Dalam perlawanan kumpulan A, Perlis menumpaskan Kelantan 2-1 untuk terus memberi saingan pada perlawanan di Stadium Utama, Kangar.

Pasukan tuan rumah membuka jaringan menerusi Rozmin Musa minit ke-18 tetapi Khamal Idris Ali menyamakan kedudukan minit ke-35 sebelum Rozmin menyumbat gol kemenangan pada minit ke-60.

Brunei semakin mengukuhkan cengkaman untuk melayakkan diri ke Piala Malaysia apabila menang bergaya 3-1 ke atas Kedah di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

Awangku Salehuddin Pengiran Damit menceriakan penyokong tempatan apabila membuka jaringan pada minit ke-33 tetapi penyerang muda Kedah, Akmal Rizal Ahmad Rakhli menyamakan kedudukan pada minit ke-38.

Penyerang berbisa Brunei, Mohd. Brian Iman melebarkan kedudukan 2-1 pada minit ke-60 sebelum Riwandi Wahit menutup perlawanan dengan gol ketiga minit ke-74.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0905&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4SFPOwpRL © Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 7 Disember 2016

Perak pulihkan maruah

ARKIB : 25/08/1999
JUARA Piala Malaysia musim lalu, Perak memulihkan kedukaan tewas pada perlawanan pembukaan Jumaat lepas dengan kejayaan menundukkan Johor FC 2-1 pada perlawanan kedua Kumpulan B bola sepak kelayakan Piala Malaysia di Stadium Pasir Gudang, Johor, semalam.

Bagaimanapun, skuad Seladang terpaksa menunggu sehingga minit ke-60 pada babak kedua untuk membuka jaringan menerusi bekas pemain kebangsaan, V. Saravanan yang menendang masuk bola pada jarak 30 meter menewaskan penjaga gol Johor FC, Samsul Sabtu.

Tujuh minit kemudian, Saravanan turut terbabit dengan gol kedua Perak apabila umpanannya kepada Mohd. Khalid Jamlus menyaksikan penyerang kebangsaan itu membuat tendangan dalam kotak penalti untuk melebarkan kedudukan.

Johor FC yang tertekan kemudian memasukkan bekas pemain Melaka, Shamsurin Abdul Rahman pada babak kedua.

Bekas penyerang kebangsaan itu berjaya merapatkan perbezaan jaringan pada minit ke-71.

Sementara itu di Stadium Kubu, Melaka meraih kemenangan kedua berturut-turut apabila menewaskan pendahulu Kumpulan B sebelum ini, Terengganu 1-0.

Tendangan penalti Mohd. Rahuddin Kasmani pada minit ke-44 sudah cukup buat Melaka meraih tiga mata penuh untuk merampas kedudukan di tempat teratas kumpulan.

Sepakan penalti diberikan selepas pemain Melaka, L. Sugumaran dijatuhkan oleh pemain Terengganu, Azman Ismail dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, Melaka dipaksa bekerja keras akibat diasak bertubi-tubi oleh pasukan dari pantai timur itu sejak wisel perlawanan dibunyikan tetapi mungkin tuah tidak memihak kepada Terengganu.

Separuh masa kedua menyaksikan jentera penyerang pasukan Terengganu seolah-olah dijana semula selepas waktu rehat apabila mengasak bermati-matian untuk mendapatkan gol penyamaan.

Namun perlu diakui kecemerlangan penjaga gol tuan rumah, A. Zainal Rabin yang berjaya mematahkan serangan-serangan kencang pasukan lawan terutama pada babak kedua membolehkan Melaka mengekalkan kedudukan sehingga wisel penamat dibunyikan.

Di Stadium Utama, Kangar, Perlis turut merampas kedudukan tempat teratas Kumpulan A selepas menewaskan pendahulu sebelum ini, Kedah 1-0.

Gol tunggal perlawanan itu dijaringkan oleh Manzoor Azwira Abdul Wahid pada minit ke-43.

Brunei menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri dengan mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kelantan pada perlawanan di Stadium Berakas, Bandar Seri Begawan.

Riwandi Wahit menyumbat gol kemenangan Brunei pada minit ke-71

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0825&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4S9ZwRKzf © Utusan Melayu (M) Bhd