Selasa, 28 November 2017

PAFA panggil pemain mengamuk

ARKIB : 08/07/2008
IPOH - Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) akan memanggil pemain Perak yang mengamuk di Stadium Utama, Kangar Ahad lalu untuk mengetahui perkara sebenar, apa yang berlaku, lapor KAMARUDDIN ISMAIL.

Naib Presiden PAFA, Khairuddin Ahmad berkata, pihaknya juga mahu mendapatkan laporan penuh daripada jurulatih, Steve Darby mengenai insiden itu.

''Selepas itu, PAFA akan berbincang mengenai tindakan yang akan diambil ke atas pemain berkenaan apabila menerima laporan dari semua pihak," tambahnya, ketika dihubungi semalam.

Dia diminta mengulas mengenai seorang pemain Perak yang dikatakan mengamuk dengan menendang pintu cermin bilik persalinan pasukan pelawat di Stadium Utama, Kangar, Perlis, Ahad lalu.

Kejadian itu berlaku sebaik sahaja tamat perlawanan Piala Malaysia Kumpulan C antara Perak dengan Perlis.

Dalam perlawanan itu, Perak kalah 1-3 yang mana ketua pasukannya, Ahmad Shahrul Azhar Sofian dibuang padang ekoran mengasari pemain Perlis, K. Soley pada minit-minit terakhir perlawanan.

Khairuddin yang memangku jawatan Timbalan Presiden PAFA tidak mengetahui sebab kenapa pemain berkenaan bertindak sedemikian.

Beliau juga tidak menamakan pemain berkenaan dan posisinya.

Namun begitu, Naib Presiden PAFA tersebut menasihati semua pemain supaya dapat mengawal emosi masing-masing dalam apa jua keadaan.

''Sebagai pemain profesional, mereka perlu bijak menangani cabaran yang menyentuh emosi," jelas Khairuddin.

Beliau berharap insiden berkenaan tidak akan berulang lagi pada masa akan datang
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0708&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zj0RXgUy

© Utusan Melayu (M) Bhd

Pemain Perak mengamuk

ARKIB : 07/07/2008

Penyelaras venue, Jalaludin Kamaruddin menunjukkan pintu bilik persalinan pelawat yang pecah ditendang salah seorang pemain Perak di Stadium Utama Kangar kelmarin.

KANGAR - Seorang pemain Perak mengamuk dengan memecahkan pintu bilik persalinan pemain di Stadium Utama di sini kerana dipercayai tidak puas hati dengan corak pengadilan semasa perlawanan bola sepak Piala Malaysia antara Perlis dengan Perak di sini, kelmarin, lapor JOHARI SHAWAL.

Pemain berkenaan dikatakan menendang cermin pintu bilik persalinan pasukan pelawat itu beberapa kali sehingga pecah.

Kejadian berlaku sebaik tamat perlawanan itu dan ketika semua pemain berjalan masuk ke bilik persalinan berkenaan.

Tinjauan di bilik persalinan itu mendapati, pintu kaca di bilik berkenaan pecah dan kaca dilihat bertaburan di sekitar bilik persalinan berkenaan.

Perbuatan pemain tengah pasukan pelawat itu dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hatinya terhadap mutu pengadilan perlawanan yang dikatakan banyak memihak kepada pasukan tuan rumah.

Tindakan pemain itu juga menyebabkan beberapa peminat dan penyokong pasukan tuan rumah yang menyedari kejadian itu tidak berpuas hati dan berkumpul di luar stadium sambil menjerit meminta pemain itu keluar dari bilik persalinan dan bersemuka dengan mereka.

Keadaan itu menyebabkan polis terpaksa mengawal keadaan termasuk mengiringi bas yang membawa pemain Perak meninggalkan stadium.

Bagaimanapun, tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) telah membuat laporan polis tengahari semalam berhubung kejadian itu. Laporan dibuat oleh Setiausaha Eksekutif PFA, Ku Basri Ku Aziz di balai polis Kangar.

Salinan laporan polis itu akan dihantar kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk tindakan lanjut.

Pengurus pasukan, Datuk Ismail Kassim yang mewakili PFA berkata, laporan berbentuk aduan itu akan dihantar dalam tempoh terdekat.

Menurut Ismail, tindakan pemain itu sama sekali tidak profesional dan tidak wajar dan FAM harus mengenakan hukuman yang setimpal dengan perbuatannya.

"Tetapi itu terpulang kepada FAM bagaimana bentuk hukuman yang boleh dikenakan ke atas pemain itu. Bagi kami, kami akan hantar laporan mengenai tindakan keterlaluan pemain itu," katanya ditemui selepas perlawanan itu.

Ismail turut tidak menafikan perbuatan pemain itu mungkin disebabkan rasa tidak puas hati dengan beberapa keputusan pengadil dalam perlawanan itu.

"Sebagai pemain profesional, dia tidak harus bertindak begitu. Apa pun, kita tunggulah sahaja apa tindakan yang akan diambil oleh FAM selepas laporan dihantar," katanya.

Dalam perlawanan yang diadili oleh pengadil, Subkhidin Mohd. Salleh itu, Perak tewas 3-1 kepada Perlis yang turut menyaksikan ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar Sofian dibuang padang pada penghujung perlawanan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0707&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zdiiFohN
© Utusan Melayu (M) Bhd


Ahad, 26 November 2017

Perak terharu sikap pemain

ARKIB : 21/06/2008
IPOH - Para pemain Liga Super Perak perlu menunggu sepuluh hari lagi sebelum menerima tunggakan gaji yang didakwa sudah tiga bulan tidak dibayar.

Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah memberitahu, kemungkinan gaji para pemain akan dibayar pada awal bulan depan.

Begitupun beliau tidak menyatakan jumlah gaji yang akan dibayar kepada pemain.

''PAFA akan bayar gaji mengikut kemampuan kewangan yang diterimanya daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)," kata Muhiyuddin semalam.

Kelmarin Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzauddin Ahmad menyatakan bahawa badan induk bola sepak negara itu itu akan membayar baki 50 peratus geran tahunan kepada semua pasukan dalam Liga Malaysia pada akhir bulan ini.

Geran tahunan bagi pasukan dalam Liga Super termasuk Perak adalah RM250,000.

Berita pembayaran baki geran tahunan itu sudah pasti melegakan para pemain Perak yang tidak bergaji sejak tiga bulan lalu.

Muhiyuddin melahirkan rasa terharu dengan sikap profesional para pemain Perak yang tidak mudah melenting walaupun tidak menerima gaji selama tiga bulan.

''Mereka masih mampu beraksi dengan baik pada permulaan saingan Piala Malaysia pada 11 Jun lalu," jelasnya.

Perak yang berada dalam Kumpulan C mencatat keputusan seri 1-1 dengan Perlis pada perlawanan pertama Piala Malaysia, baru-baru ini.

Skuad Seladang akan bertandang ke Kuantan untuk menentang Pahang pada 24 Jun ini.

Muhiyuddin berharap pembayaran gaji tersebut akan menyemarakkan lagi semangat para pemain untuk membawa pulang tiga mata penuh di Kuantan.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0621&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zc2QONoi

© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 18 November 2017

Piala AFC: Perak, Kedah kena belasah



ARKIB : 19/03/2008 
IPOH – Perak terpaksa menelan kepahitan apabila dibelasah 1-6 oleh wakil Singapura, Angkatan Tentera Singapura (ATS) pada perlawanan kedua Kumpulan E Piala AFC di Stadium Perak, semalam, lapor Kamaruddin Ismail.

Kekalahan besar itu meletakkan Perak kekal di tangga kedua kumpulan tersebut selepas menang 3-1 ke atas wakil Maldives, New Radiant di tempat lawan sebelum ini.

Kubu Perak bocor seawal minit kesembilan sebaik Chaiman Thaisak membuka jaringan buat pasukan pelawat.

Ini disusuli dengan empat gol berturut-turut menerusi Guric Aleksander pada minit ke-43, 49, 71 dan 74 di samping satu gol lagi sumbangan Mustaqim Manzur Ahmed Khan (m-58).

Gol sagu hati Perak pula dijaringkan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Mario Barios pada minit ke-45.

Jentera Perak ternyata pincang sebaik penyerang utamanya, Carlos Caceres dikeluarkan pada minit ke-44 dan ini menyaksikan Khalid Jamlus terpaksa bertindak berseorangan di bahagian depan.

Sementara itu, satu lagi wakil negara, Kedah turut dibelasah 1-5 juga oleh wakil Singapura, Home United pada perlawanan di Stadium Jalan Besar.

Kedah bagaimanapun lebih dulu berada di depan hasil jaringan Shafiq Jamal sebelum Singapura melakukan amukan lima gol menerusi Kengne Ludovick (2 gol), Peres de Oliviera (2 gol) dan Sharik Ishak.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0319&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4ypbxctJD
© Utusan Melayu (M) Bhd

Piala AFC: Kedah, Perak cemerlang



ARKIB : 12/03/2008

KUALA LUMPUR – Kedah dan Perak memulakan kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dengan cemerlang apabila menang ke atas lawan masing-masing semalam.

Perak mencatat kemenangan selesa 3-1 atas kelab Maldives, New Radiant, yang bermain dengan sepuluh pemain dalam Kumpulan C di tempat lawan.

Manakala juara Piala Malaysia musim lalu, Kedah mengutip tiga mata penuh apabila menumpaskan wakil Maldives, Victory SC 1-0 dalam saingan Kumpulan D di Stadium Darulaman, Alor Star.

Di Maldives, Perak ketinggalan menerusi jaringan Daniel Mbock pada minit ketujuh namun bangkit dengan jaringan penyamaan Carlos Caceres seminit kemudian.

Tuan rumah terpaksa beraksi di sepanjang babak kedua dengan 10 pemain apabila Mohamed Shifan dilayangkan kad kuning kedua di minit ke-34.

Tiga minit kemudian Khalid Jamlus meletakan Perak 2-1 di depan hasil kesilapan Ibrahim Amil dengan rembatan deras.

Di Alor Star, kemenangan Kedah menjelma pada minit ke-48 menerusi Fauzi Shaari.

Kedah, juara tiga piala musim lalu memulakan perlawanan dengan berhati-hati, selepas tewas 0-2 pada pusingan pertama Piala FA di tangan PKNS Selangor.

Penyerang Marlon Alex James, yang menjaringkan 18 gol dalam Liga Super dikawal ketat pertahanan pelawat sehingga sukar melakukan percubaan.

Merembat

Namun Kedah masih dapat melancarkan beberapa peluang gol pada minit ke-14 menerusi pemain tengah Shafiq Jamal yang merembat deras namun berjaya diselamatkan penjaga gol pasukan pelawat, Imran Mohamed.

Tiga minit sebelum rehat, Kedah di depan apabila Fauzi Shaari menyambar hantaran silang Badrol Bakhtiar dengan rembatan deras ke gawang.

Jaringan tersebut memaksa pelawat menukar corak permainan untuk mencari gol penyamaan tetapi benteng Kedah kental bertahan mengelak gol dibolosi.

Perlawanan menjadi semakin tegang menyebab empat pemain Kedah dilayangkan kad kuning, manakala jurulatih Mohd Azari Khor turut diarah meninggalkan tempat duduki pemain.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0312&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4ypECcrBA
© Utusan Melayu (M) Bhd