Ahad, 26 November 2017

Perak terharu sikap pemain

ARKIB : 21/06/2008
IPOH - Para pemain Liga Super Perak perlu menunggu sepuluh hari lagi sebelum menerima tunggakan gaji yang didakwa sudah tiga bulan tidak dibayar.

Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah memberitahu, kemungkinan gaji para pemain akan dibayar pada awal bulan depan.

Begitupun beliau tidak menyatakan jumlah gaji yang akan dibayar kepada pemain.

''PAFA akan bayar gaji mengikut kemampuan kewangan yang diterimanya daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)," kata Muhiyuddin semalam.

Kelmarin Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzauddin Ahmad menyatakan bahawa badan induk bola sepak negara itu itu akan membayar baki 50 peratus geran tahunan kepada semua pasukan dalam Liga Malaysia pada akhir bulan ini.

Geran tahunan bagi pasukan dalam Liga Super termasuk Perak adalah RM250,000.

Berita pembayaran baki geran tahunan itu sudah pasti melegakan para pemain Perak yang tidak bergaji sejak tiga bulan lalu.

Muhiyuddin melahirkan rasa terharu dengan sikap profesional para pemain Perak yang tidak mudah melenting walaupun tidak menerima gaji selama tiga bulan.

''Mereka masih mampu beraksi dengan baik pada permulaan saingan Piala Malaysia pada 11 Jun lalu," jelasnya.

Perak yang berada dalam Kumpulan C mencatat keputusan seri 1-1 dengan Perlis pada perlawanan pertama Piala Malaysia, baru-baru ini.

Skuad Seladang akan bertandang ke Kuantan untuk menentang Pahang pada 24 Jun ini.

Muhiyuddin berharap pembayaran gaji tersebut akan menyemarakkan lagi semangat para pemain untuk membawa pulang tiga mata penuh di Kuantan.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0621&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zc2QONoi

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan