Selasa, 28 November 2017

PAFA panggil pemain mengamuk

ARKIB : 08/07/2008
IPOH - Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) akan memanggil pemain Perak yang mengamuk di Stadium Utama, Kangar Ahad lalu untuk mengetahui perkara sebenar, apa yang berlaku, lapor KAMARUDDIN ISMAIL.

Naib Presiden PAFA, Khairuddin Ahmad berkata, pihaknya juga mahu mendapatkan laporan penuh daripada jurulatih, Steve Darby mengenai insiden itu.

''Selepas itu, PAFA akan berbincang mengenai tindakan yang akan diambil ke atas pemain berkenaan apabila menerima laporan dari semua pihak," tambahnya, ketika dihubungi semalam.

Dia diminta mengulas mengenai seorang pemain Perak yang dikatakan mengamuk dengan menendang pintu cermin bilik persalinan pasukan pelawat di Stadium Utama, Kangar, Perlis, Ahad lalu.

Kejadian itu berlaku sebaik sahaja tamat perlawanan Piala Malaysia Kumpulan C antara Perak dengan Perlis.

Dalam perlawanan itu, Perak kalah 1-3 yang mana ketua pasukannya, Ahmad Shahrul Azhar Sofian dibuang padang ekoran mengasari pemain Perlis, K. Soley pada minit-minit terakhir perlawanan.

Khairuddin yang memangku jawatan Timbalan Presiden PAFA tidak mengetahui sebab kenapa pemain berkenaan bertindak sedemikian.

Beliau juga tidak menamakan pemain berkenaan dan posisinya.

Namun begitu, Naib Presiden PAFA tersebut menasihati semua pemain supaya dapat mengawal emosi masing-masing dalam apa jua keadaan.

''Sebagai pemain profesional, mereka perlu bijak menangani cabaran yang menyentuh emosi," jelas Khairuddin.

Beliau berharap insiden berkenaan tidak akan berulang lagi pada masa akan datang
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0708&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zj0RXgUy

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan