ARKIB : 07/07/2008
Penyelaras venue, Jalaludin
Kamaruddin menunjukkan pintu bilik persalinan pelawat yang pecah ditendang
salah seorang pemain Perak di Stadium Utama Kangar kelmarin.
KANGAR - Seorang pemain Perak
mengamuk dengan memecahkan pintu bilik persalinan pemain di Stadium Utama di
sini kerana dipercayai tidak puas hati dengan corak pengadilan semasa
perlawanan bola sepak Piala Malaysia antara Perlis dengan Perak di sini,
kelmarin, lapor JOHARI SHAWAL.
Pemain berkenaan dikatakan
menendang cermin pintu bilik persalinan pasukan pelawat itu beberapa kali
sehingga pecah.
Kejadian berlaku sebaik tamat
perlawanan itu dan ketika semua pemain berjalan masuk ke bilik persalinan
berkenaan.
Tinjauan di bilik persalinan
itu mendapati, pintu kaca di bilik berkenaan pecah dan kaca dilihat bertaburan
di sekitar bilik persalinan berkenaan.
Perbuatan pemain tengah pasukan
pelawat itu dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hatinya terhadap mutu
pengadilan perlawanan yang dikatakan banyak memihak kepada pasukan tuan rumah.
Tindakan pemain itu juga
menyebabkan beberapa peminat dan penyokong pasukan tuan rumah yang menyedari
kejadian itu tidak berpuas hati dan berkumpul di luar stadium sambil menjerit
meminta pemain itu keluar dari bilik persalinan dan bersemuka dengan mereka.
Keadaan itu menyebabkan polis
terpaksa mengawal keadaan termasuk mengiringi bas yang membawa pemain Perak
meninggalkan stadium.
Bagaimanapun, tiada sebarang
kejadian yang tidak diingini berlaku.
Sementara itu, Persatuan Bola
Sepak Perlis (PFA) telah membuat laporan polis tengahari semalam berhubung
kejadian itu. Laporan dibuat oleh Setiausaha Eksekutif PFA, Ku Basri Ku Aziz di
balai polis Kangar.
Salinan laporan polis itu akan
dihantar kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk tindakan lanjut.
Pengurus pasukan, Datuk Ismail
Kassim yang mewakili PFA berkata, laporan berbentuk aduan itu akan dihantar
dalam tempoh terdekat.
Menurut Ismail, tindakan pemain
itu sama sekali tidak profesional dan tidak wajar dan FAM harus mengenakan
hukuman yang setimpal dengan perbuatannya.
"Tetapi itu terpulang
kepada FAM bagaimana bentuk hukuman yang boleh dikenakan ke atas pemain itu.
Bagi kami, kami akan hantar laporan mengenai tindakan keterlaluan pemain
itu," katanya ditemui selepas perlawanan itu.
Ismail turut tidak menafikan
perbuatan pemain itu mungkin disebabkan rasa tidak puas hati dengan beberapa
keputusan pengadil dalam perlawanan itu.
"Sebagai pemain
profesional, dia tidak harus bertindak begitu. Apa pun, kita tunggulah sahaja
apa tindakan yang akan diambil oleh FAM selepas laporan dihantar,"
katanya.
Dalam perlawanan yang diadili
oleh pengadil, Subkhidin Mohd. Salleh itu, Perak tewas 3-1 kepada Perlis yang
turut menyaksikan ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar Sofian dibuang
padang pada penghujung perlawanan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0707&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zdiiFohN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan