Selasa, 5 Disember 2017

Azlan tolak tepi masalah gaji

ARKIB : 16/09/2008
KUALA LUMPUR - Demi pasukan dan penyokong setia, pemain pertahanan Perak, Ahmad Azlan Zainal berjanji akan bermain bermati- matian malam ini menentang pasukan Safa FC dalam perlawanan suku akhir pusingan pertama Piala AFC, walaupun pasukannya dilanda masalah pemberian gaji kepada pemain, lapor FERZALFIE FAUZI.

Menurut pemain kebangsaan itu, menjelang perlawanan penting malam ini dia dan rakan-rakan sudah bersedia seratus peratus untuk memberi tentangan kepada pasukan dari Lebanon itu.

''Saya akan melakukan yang terbaik dan mengharapkan strategi yang dicorakkan oleh jurulatih semasa latihan sebelum ini menjadi,'' kata Azlan ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, dia sudah tidak sabar untuk beraksi dan mengharapkan berkat bulan Ramadan ini kejayaan bakal diciptakan oleh para pemain Seladang.

''Kami berada dalam keadaan bersedia dan apa yang saya lihat persefahaman antara kami juga baik, walaupun dilanda dengan masalah tunggakan gaji.

''Saya tidak menafikan masalah tunggakan gaji sedikit mempengaruhi kami, tetapi perjuangan harus diteruskan demi untuk pasukan dan peminat setia pasukan Seladang,'' kata pemain yang berasal dari Teluk Intan itu.

Ujarnya, latihan yang dijalankan setiap malam dan perlawanan persahabatan antara beberapa kelab bola sepak di Ipoh menjadi ujian terakhir pasukan Perak sebelum beraksi di Stadium Ipoh malam ini.

''Saya harap penyokong-penyokong Perak dapat membanjiri stadium malam ini untuk memberikan sokongan padu dan kami berjanji akan melakarkan kejayaan di halaman sendiri,'' kata Azlan.

Ditanya mengenai hala tujunya bersama pasukan Perak pada musim depan, Azlan berkata dia masih belum pasti lagi sama ada kekal atau tidak bersama pasukan Seladang.

''Saya masih belum membuat keputusan muktamad lagi, setakat ini sudah ada tiga pasukan sudah menyatakan hasrat untuk mendapatkan khidmat saya,'' katanya.

Sementara itu pasukan Kedah sudah tiba di Bahrain untuk menentang Muharraq dalam satu lagi perlawanan suku akhir pusingan pertama Piala AFC yang juga akan berlangsung malam ini.

Sebelum ini belum ada pasukan dari Malaysia yang berjaya melepasi peringkat suku akhir Piala AFC yang mula diperkenalkan pada tahun 2004.

Dalam pada itu di IPOH, Kelab Safa FC berazam mahu membawa pulang bekalan yang mencukupi dalam perlawanan pertama suku akhir menentang Perak.

Jurulatih Safa FC, Samir Saad berharap, para pemainnya dapat menggunakan peluang gol dengan sebaik - baiknya.

'' Safa FC mampu mengatasi Perak jika para pemain tidak mensia-siakan peluang terbaik tersebut," jelas Samir.

Jurulatih itu berkeyakinan Safa FC mampu membawa pulang beberapa gol kerana kelab tersebut akan menurunkan lima pemain kebangsaan Lebanon pada malam ini.

Safa FC akan menyenaraikan tiga pertahanan Lebanon seperti Ali Al Saadi, Mohamad Korhani dan Ramez Dayoub.

Selain itu, dua pemain tengah Lebanon, Khodr Salame dan Amer Khan akan mencorak serangan Safa FC bagi mendapatkan gol
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0916&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz50PzypQne

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan