Ahad, 10 Disember 2017

Skuad Perak menanti rebah

ARKIB : 08/10/2008
Oleh KAMARUDDIN ISMAIL
IPOH – Ibarat menanti rebah, Perak goyah apabila khabar angin bertiup kencang mengatakan lebih ramai lagi pemain utamanya akan disambar pasukan lain bagi menghadapi musim baru Liga Malaysia yang akan bermula 3 Januari depan.

Sepuluh lagi pemain utama skuad Kejor Yob Kejor dikatakan akan berhijrah ke negeri lain.

Setakat ini, dua pemain tengah, Mohd. Hardi Jafaar dan Shahrulnizam Mustafa kekal kerana masih mempunyai kontrak dengan Perak.

Sehingga ini, penjaring terbanyak tempatan, Mohd. Khalid Jamlus dan pemain pertahanan kebangsaan, Ahmad Azlan Zainal akan beraksi dengan skuad Kelantan musim depan.

Benteng pertahanan Perak juga menanti parah apabila seorang lagi pemain posisi tersebut, Chan Wing Hoong dikatakan mula diintai Brunei.

Penjaring terbanyak Piala Presiden 2007, Razali Umar Kandasamy mungkin disambar oleh sebuah pasukan kelab di Lembah Kelang.

Seorang pemain berpengalaman Perak yang enggan namanya disiarkan mengakui pemain-pemain berkenaan sudah dipancing oleh beberapa buah negeri.

Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Perak (KPBP), Abdul Jamil Othman meminta Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) supaya bertindak segera mengikat pemain berpengalaman daripada meninggalkan negeri itu.

‘‘ Saya tidak dapat mengesahkan kebenarannya dan tidak mengetahui negeri-negeri yang memancing mereka,” jelas beliau.

Namun begitu, beliau mengakui soal perpindahan 10 pemain utama Seladang memang hangat diperkatakan oleh para penyokong sejak bulan lalu.

‘‘Skuad Seladang mungkin lumpuh jika perpindahan beramai-ramai pemain berkenaan menjadi kenyataan,” tambahnya.

Dalam pada itu, PAFA dijangka mengadakan perbincangan serius dengan para pemain apabila Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengambil alih kepemimpinan persatuan itu pada pertengahan bulan ini.

Jawatan Presiden PAFA kini dipangku oleh Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah manakala Steve Darby pula merupakan pengurus dan jurulatih pasukan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pertanian dan Perdagangan Negeri Perak, Jamaluddin Mohd. Radzi disebut-sebut sebagai pengurus pasukan yang baru.

Perak juga belum melantik jurulatih dan penolong jurulatih yang akan mengendalikan skuad Seladang bagi musim akan datang.

Namun begitu, bekas jurulatih Perak pada tahun 1990, M. Karathu semakin panas dikaitkan dengan jawatan jurulatih skuad Seladang.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1008&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz50s6t2fvu

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan