ARKIB : 25/09/2008
IPOH - Perak gagal mengekang
kekuatan kelab dari Lebanon apabila dibelasah 5-0 oleh Safa SC dalam pertemuan
suku akhir kedua Piala AFC di Stadium Sport City, Beirut, kelmarin.
Kemenangan tersebut membolehkan
wakil dari Lebanon itu layak ke separuh akhir dengan agregat 7-0.
Safa SC berjaya mencatat
kemenangan 2-0 dalam pertemuan pertama kedua-duanya di Ipoh pada 16 September
lalu.
Perak yang beraksi tanpa
bintang penyerang berjaya mempertahankan pintu golnya daripada bolos selama 42
minit.
Namun, Safa SC berjaya memecah
kebuntuan apabila membuka tirai jaringan melalui penyerang kebangsaan Lebanon,
Rony Azar pada minit ke-43.
Penyerang itu juga menyumbat
gol kedua, dua minit kemudian untuk selesa mendahului Perak 2-0 pada separuh
masa pertama.
Skuad Seladang bertandang ke
Beirut tanpa penjaring utama, Carlos Caceres yang pulang ke Chile manakala
Mohd. Khalid Jamlus pula mengalami kecederaan.
Selain itu, dua penyerang muda,
Razali Umar Kandasamy dan Ahmad Fakri Saarani juga tidak bersama-sama skuad
Seladang ke sana.
Skuad Seladang terpaksa
bergantung kepada tiga pemain tengah, Ahmad Shahrul Azhar, Danial Fadzly dan
Mohd. Nor Ismail untuk menerajui serangan.
Safa SC telah mengambil
kesempatan dengan kegoyahan Perak untuk menambah jaringan ketiga melalui pemain
import dari Maghribi, Hamid Termina pada minit ke-53.
Selepas itu, pemain gantian,
Mohammad Kassas yang dimasukkan untuk mengambil tempat Hussien Tahan menambah
jaringan keempat pada minit ke-67.
Seorang lagi pemain gantian
Safa SC, Mahmoud El Zoughbi yang menggantikan Rony Azar menyumbatkan gol kelima
pada minit ke-84.
Perlawanan di Beirut itu juga
merupakan tugasan terakhir Steve Darby selaku jurulatih Perak yang mana
Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) dijangka melakukan rombakan besar-besaran pada
pertengahan bulan depan.
Bekas jurulatih Perak, M.
Karathu disebut-sebut akan menggantikan Darby.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0925&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz50TOynUp0
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan