ARKIB : 17/09/2008
Oleh KAMARUDDIN ISMAIL

Pemain Perak, Hardy Jaafar
(tengah) diasak oleh Kapten Kelab Safa SC, Amer Khan (dua dari kiri) dalam
pertembungan pusingan suku akhir pertama Piala AFC 2008 di Stadium Perak
semalam. Perak kalah 0-2.
- Gambar HANAFI KHAMIS
IPOH - Kelab Safa SC dari
Lebanon semakin hampir ke separuh akhir Piala AFC apabila berjaya menumpaskan
Perak 2-0 dalam perlawanan suku akhir pertama di Stadium Perak, Ipoh malam
tadi.
Pasukan pelawat memperoleh dua
gol melalui rembatan Rony Azar (m-38) dan pemain import dari Maghribi, Hamid
Termina pada minit ke-55.
Pasukan tuan rumah terpaksa
memulakan perlawanan dalam keadaan tempang dengan ketiadaan penjaring
terbanyak, Carlos Caceres yang sudah pulang ke Chile.
Ketiadaan Caceres membuatkan
Perak terpaksa bergantung harapan kepada Mohd. Khalid Jamlus dan Razali Umar
Kandasamy bagi menerajui serangan.
Namun begitu hasrat Perak tidak
kesampaian untuk melihat gandingan kedua-dua penyerang tersebut apabila Razali
menghilang diri tanpa dikesan.
Khalid yang diturunkan
berseorangan di barisan serangan hanya mampu beraksi selama sepuluh minit
sahaja apabila digantikan oleh Danial Fadzly setelah penyerang itu tercedera.
Ketua pasukan, Ahmad Shahrul
Azhar bersama-sama Danial Fadzly terpaksa menerajui barisan serangan.
Safa SC yang menurunkan tiga
pemain kebangsaan Lebanon memulakan perlawanan tersebut dalam keadaan
berhati-hati.
Ketiga-tiga pemain berkenaan
adalah Mohamad Korhani, Ramez Dayoub dan Amer Khan.
Perak terlepas peluang
mengejutkan Safa SC apabila Mohd. Hardi Jaafar gagal merembat dengan baik
walaupun berdepan dengan penjaga gol, Nazih Tay pada minit ke-23.
Penjaga gol Perak, Mohd. Nasril
MaT Nourdin mempamerkan kecekapan dengan menangkis rembatan kencang Rony Azar
pada minit ke-36.
Akhirnya, gawang Perak bocor
melalui tendangan cantik oleh Rony Azar yang menyambut hantaran yang dilakukan
oleh ketua pasukan, Amer Khan pada minit ke-38.
Safa SC yang menurunkan tiga
pemain import, Pierre Millat dari Camerron, Hamid Termina dari Maghribi dan Mba
Derick Ebi dari Nigeria berjaya mengekang rentak permainan Perak.
Pintu gol Perak bocor lagi pada
minit ke-55 apabila tandukan cantik yang dilakukan oleh Hamid Termina gagal
ditangkis oleh penjaga gol, Mohd Nasril.
Hasrat Perak merapatkan jurang
perbezaan gol berkecai apabila rembatan cantik yang dilakukan oleh Mohd Hardi
pada minit ke-65 sempat ditepis oleh penjaga gol, Nazih Tay.
Selepas itu, kedua-dua pasukan
berusaha mendapat gol tetapi gagal melakukannya.
Kedua-dua pasukan akan bertemu
sekali lagi untuk suku akhir kedua di Stadium City Lebanon pada 23 September
ini.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0917&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz50RfGLFij
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan