ARKIB : 08/09/2007
MUKADIMAH
MAMPUKAH Perak menyekat hasrat
Kedah membawa pulang kejayaan hatrik dalam Liga Bola Sepak Malaysia musim ini
ke Alor Star?
Persaingan pasukan Seladang dan
Kenari bertambah sengit dalam perebutan gelaran Liga Super sejak awal musim,
Disember lalu.
Kini, Perak dan Kedah
bertembung lagi dalam perebutan Piala Malaysia - piala berprestij yang
diperkenalkan pada tahun 1921.
Naib Presiden Persatuan
Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Mohammed Mahiyuddin Abdullah meminta para
pemainnya menghalang hasrat Kedah untuk membawa pulang piala tersebut.
Katanya, piala itu perlu dibawa
pulang ke Ipoh kerana para penyokong Kejor Yeop Kejor sudah menantikannya sejak
tujuh tahun lalu.
Kali terakhir pasukan dari
Lembah Kinta itu berjaya menjulang piala keagungan bola sepak tanah air itu
ialah pada tahun 2000 dengan mengalahkan Negeri Sembilan 2-0.
Bagi mengungkap kesungguhan
pasukan Seladang, wartawan Utusan Malaysia, KAMARUDDIN ISMAIL mendapatkan
jurulatih Perak, Steve Darby yang mempunyai pandangan tersendiri dalam beberapa
perkara menjelang perlawanan menentang Kedah, malam ini
Apa pendapat anda mengenai
pertarungan antara Perak dan Kedah malam ini?
Steve Darby: Saya percaya mutu
persembahan yang ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan pada malam ini berada pada
tahap yang membanggakan dan juga berkualiti.
Kedua-dua pasukan mempunyai
barisan pemain yang berwibawa dan sekaligus akan mempamerkan persembahan yang
baik.
Prestasi antara Perak dan Kedah
tidak berbeza yang mana kedua-dua mampu mengatasi lawan masing-masing.
Apa signifikan anda memberikan
latihan yang lebih ringan menjelang perlawanan akhir yang lebih mencabar?
Steve Darby: Saya sebenarnya
tidak mahu memberi tekanan kepada para pemain yang terpaksa melalui latihan
berat sehingga menjejaskan penumpuan mereka.
Biarlah para pemain merasai
keselesaan dan kelegaan menjelang pertemuan sengit yang mana mereka akan beraksi
lebih baik pada malam penentuan.
Latihan yang lebih ringan akan
mengelakkan para pemain mengalami kecederaan yang boleh menjejaskan strategi
yang disusun.
Difahamkan anda begitu
berhati-hati tentang soal pemakanan pada saat genting ini. Kenapa?
Steve Darby: Pemilihan makanan
adalah penting kepada seseorang atlet kerana akan mempengaruhi prestasinya
kelak.
Jika para pemain tersalah pilih
makanan boleh menyebabkan kesihatan mereka terjejas dan memudaratkan pasukan
tersebut.
Apakah harapan anda terhadap
para pemain Perak setelah gagal meraih dua piala kepada Kedah.
Steve Darby: Saya sentiasa
meletakkan harapan yang tinggi kepada para pemain Perak untuk merangkul
mana-mana piala.
Saya percaya mereka mampu
membawa pulang Piala Malaysia tetapi mesti melalui cabaran yang getir.
Jika mereka gagal berbuat
demikian, mungkin terdapat kesilapan sampingan yang tidak diberi perhatian
tetapi telah menjejaskan pasukan.
Saya tidak menyalahkan para
pemain apabila gagal menjulang Piala FA dan Liga Super kerana terdapat
faktor-faktor lain yang menghalang Perak membawa pulang kedua-dua piala
tersebut.
Anda memang menggemari formasi
3-5-2 dalam mem- bentuk strategi permainan Perak. Mampukah formasi itu
mengekang kemaraan Kedah?
Steve Darby: Formasi pemain
merupakan salah satu cara untuk menggerakkan permainan dalam sesuatu perlawanan
yang mana akan menjadi panduan kepada para pemain.
Corak permainan mungkin
kucar-kacir jika tiada susunan yang perlu diikuti oleh para pemain.
Mohd. Khalid Jamlus sering
menjadi sasaran ramai. Sebaliknya anda berjaya membentuk Khalid sebagai
penyerang yang berbisa. Apakah rahsia anda?
Steve Darby: Saya memberi
kebebasan kepada setiap pemain semasa beraksi supaya mereka dapat bermain
dengan baik dan tidak berdepan sebarang tekanan.
Persembahan para pemain akan
terjejas jika terlalu banyak tekanan diberikan secara langsung atau tidak
secara langsung.
Khalid merupakan salah seorang
penyerang yang baik di negara ini kerana mempunyai kemahiran tersendiri untuk
menjaringkan gol.
Saya memberi kebebasan kepada
Khalid dan panduan supaya beliau menjadi penyerang yang disegani dan digeruni.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0908&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4vZIBoKMl
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan