ARKIB : 04/09/2007
IPOH - Barisan pemain Perak
kini begitu bersemangat untuk mengatasi Sabah dalam saingan separuh akhir kedua
bola sepak Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh malam ini ketika mereka
berusaha memburu aksi perlawanan akhir buat kali ke-18 dalam kejuaraan
berprestij itu.
Perak pernah layak ke
perlawanan akhir sebanyak 17 kali sejak piala tersebut diperkenalkan pada tahun
1921 lalu.
Namun begitu, pasukan itu hanya
muncul juara Piala Malaysia sebanyak tujuh kali pada tahun 1926, 1931, 1957,
1967, 1970, 1998 dan 2000.
Skuad Seladang itu pernah
menjadi naib juara dalam sepuluh penyertaan lagi pada tahun 1923, 1951, 1959,
1960, 1961, 1964, 1971, 1972, 1974 dan 2001.
Dengan rekod yang ternyata jauh
lebih baik berbanding lawan, semangat para pemain Seladang semakin membara
apalagi selepas mencipta keputusan seri 1-1 pada separuh akhir pertama di
Tawau, Sabtu lalu.
Kali terakhir Perak layak ke
perlawanan akhir pada tahun 2001 tetapi gagal membawa pulang piala berprestij
itu apabila tewas kepada Terengganu 1-2.
Kedudukan seri di Tawau
membuatkan Perak begitu selesa apalagi berbekalkan satu gol di tempat lawan.
Jika keputusan perlawanan malam
ini berkesudahan seri tanpa jaringan, Perak sudah pasti melangkah ke babak
akhir berdasarkan kiraan gol di tempat lawan.
Begitupun, Seladang mungkin
menggigit jari jika terlalu mengharapkan keputusan seri kerana satu gol yang dijaringkan
oleh Sabah mampu membawa mereka ke Stadium Nasional pada 8 September ini.
Keupayaan Sabah tidak boleh
diperkecilkan kerana pasukan dari kepulauan Borneo tersebut merupakan satu-satu
pasukan dari Liga Perdana yang layak ke peringkat separuh akhir musim ini.
Sabah boleh mengigit dan
menjadi pemusnah jika Perak tidak berhati-hati atau memandang rendah kepada
keupayaan pasukan tersebut.
Sabah pernah menggagalkan
hasrat Perak untuk beraksi dalam perlawanan akhir pada tahun 2002 lalu.
Jurulatih, Steve Darby dijangka
tidak melakukan sebarang perubahan dalam susunan barisan kerana mereka
diharapkan akan menggegarkan pintu Sabah lagi.
Pemenang Kasut Emas 2007, Keita
Mandjou akan bergandingan dengan Khalid Jamlus bagi mendapatkan gol dan sekali
gus layak ke perlawanan akhir buat kali ke-18.
Pertahanan kebangsaan, K.
Nanthakumar yang bergandingan dengan Ahmad Azlan Zainal, Vedran Kukoc dan
Khairi Zainuddin perlu bekerja bagi menghalang asakan Sabah kelak.
Kini, Darby menjadi perhatian
penyokong Kejor Yeop Kejor samada strateginya mampu membawa Perak ke perlawanan
akhir dan seterusnya menjulang Piala Malaysia bagi kali kelapan.
Kali terakhir Perak muncul
juara pada tahun 2000 setelah menumpaskan Negeri Sembilan 2-0.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0904&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4vYVSdrz6
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan