Rabu, 31 Mei 2017

Hatrik Seator bantu Perak



ARKIB : 30/06/2005

KUALA LUMPUR - Frank Seator mencipta jaringan hatrik bagi membantu juara bertahan, Perak membelasah Sabah 5-0 dalam perlawanan pertama pusingan suku akhir bola sepak Piala FA di Stadium Likas di Kota Kinabalu, semalam.

Kemenangan bergaya itu mencerahkan laluan Perak untuk mara ke separuh akhir, berbekalkan kelebihan lima jaringan sebelum menanti kunjungan Sabah di Stadium Perak pada 13 Julai ini.

Seator membuka jaringan pertama pada minit ke-10 apabila merembat kencang menewaskan penjaga gol Sabah, Samsul Sabtu.

Belum reda Sabah mengatur gerakan Perak menambah gol kedua menerusi Keita Mandjou pada minit ke-20.

Selepas itu Sabah terus tertekan melihat Seator meledakkan dua lagi jaringan pada minit ke-55 dan ke-80.

Sabah yang ketinggalan 0-4 pada satu ketika tergamam lagi apabila Mandjou menutup tirai jaringan apabila meledakkan jaringan kelima lapan minit sebelum tamat.

Di Stadium Sultan Mohd. Ke-IV, Muhammad Khalid Jamlus muncul penyelamat apabila jaringan penyamaan di minit-minit terakhir membantu Selangor mencatat keputusan seri 1-1.

Di hadapan lebih daripada 15,000 penonton, Kelantan yang membuat kejutan menyingkirkan Perlis di pusingan kedua, tangkas membuat kejutan ke atas Selangor.

Pada minit ke-14, penyerang lincah Kelantan, Mohd. Sairozi Daud menggegarkan stadium apabila dia merembat kencang menggegar jaring menewaskan penjaga gol Selangor, Jamsari Sabian.

Tersentak dengan gol awal Kelantan, gandingan Bambang Pamungkas dan Khalid mengatur gerakan memburu gol penyamaan tetapi sukar menembusi benteng tuan rumah.

Begitu pun pada minit terakhir perlawanan hendak ditamatkan, Khalid Jamlus tidak mensia-siakan dalam keadaan kelam kabut di kawasan kotak penalti Kelantan untuk merembat masuk gol penyamaan menewaskan Mohd. Halim Napi.

Suasana perlawanan semakin sengit dengan percikan bunga api juga menganggu ketenteraman pemain menyebabkan pengadil terpaksa memberhentikan perlawanan selama lima minit bagi memastikan keselamatan pemain.

Kesebelasan pemain Kelantan juga merayu dan meminta peminat bola sepak tidak membaling objek bagi meneruskan permainan.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu gagal menggunakan kesempatan bermain di gelanggang sendiri apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1.

Terengganu membuka tirai jaringan pertama pada minit ke-33 menerusi tandukan kencang Sapian Wahid selepas menerima hantaran daripada Dos Santos.

Bagaimanapun, Kuala Lumpur berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi K. Krishnan yang merembat kencang gagal diselamatkan oleh penjaga gol kebangsaan, Syamsuri Mustafa.

Di Stadium Petaling Jaya pula, Public Bank hampa apabila sekadar mencatat keputusan seri 3-3 ketika bertemu PKNS.

Public Bank yang mendahului PKNS 3-1 pada satu ketika menerusi jaringan Mohd. Nizaruddin Yusof (m-5 dan m-31) dan Luis Fernando Espindola (m-45). Manakala gol PKNS dijaringkan oleh Roman Chmelo (m-10)

Tetapi kerapuhan benteng pertahanan melihat PKNS berjaya merapatkan jurang jaringan gol menerusi Rudie Ramli (m-48) dan Slaven Bukal (m-71).

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0630&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iftS5P9v
© Utusan Melayu (M) Bhd

Perak temui penawar duka



ARKIB : 17/06/2005

IPOH - Gandingan dua import, Frank Seator dan Keita Mandjou membuka lembaran baru dalam usaha Perak untuk mencari tempat terbaik dalam Liga Super.

Persefahaman Seator dari Liberia dan Mandjou dari Burkina Faso mantap ketika membantu Perak meratah Pulau Pinang 6-0 dalam aksi Piala FA di Ipoh, kelmarin.

Seator, yang pernah diketepikan awal musim lalu kerana prestasinya yang tidak menentu mengesahkan perlawanan kelmarin menjadi miliknya apabila melakukan hatrik pada minit-minit ke-29, 54 dan 81.

Sementara Mandjou pula tidak kurang hebatnya apabila meledakkan dua jaringan untuk menggegarkan gawang Pulau Pinang pada minit ke-33 dan 78 perlawanan.

Perak menutup tirai pesta pada minit ke-89 menerusi jaringan Chan Wing Hoong.

Gandingan yang sama juga sebelum ini turut membenam Public Bank 4-0, membolehkan Perak membawa pulang mata penuh.

Apa yang pasti, jurulatih Toni Netto sudah boleh mengukir senyuman panjang sekali gus juga melonjakkan kedudukan Perak di tangga ketujuh dengan 18 mata.

``Saya hanya berharap Perak mencatat kemenangan selesa supaya mempunyai sedikit bekalan bagi pusingan kedua kelak,'' jelas Netto ketika ditemui, kelmarin.

Di sebalik pujian melambung Netto kepada awang importnya, beliau juga tidak menafikan aksi hebat kedua-dua pemain itu turut dibantu oleh aksi bertenaga Troare Abdoulaye, K. Yoganathan dan Wirat Nom yang mengemudi bahagian tengah padang.

Ketika skuad Perak bersiap untuk melayan kunjungan Telekom Melaka di Ipoh, jurulatih yang berasal dari Brazil itu berharap anak-anak buahnya akan mengekalkan persembahan yang sama selepas ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0617&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4ieYXo57U
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 30 Mei 2017

Perak rentap semangat Perlis



ARKIB : 22/05/2005

KUALA LUMPUR - Perak menghidupkan kembali peluang daripada tersingkir musim depan apabila bertindak cemerlang menewaskan pendahulu Perlis 3-1 di Stadium Perak di Ipoh, semalam.

Perlis jelas tersentak tanpa tiga pemain utama iaitu Zacharia Simukonda yang patah hidung selain kecederaan Joao Bandoch dan Mohd. Ivan Mohd. Yusof gagal menguasai pentas saingan.

Sebaliknya Perak yang memburu kemenangan untuk mengelakkan diri daripada tersingkir ke Liga Perdana musim depan membuka tirai jaringan pertama menerusi Shahrulnizam Mustafa pada minit ke-12 sebelum Perlis menyamakan kedudukan 1-1 hasil jaringan Owen Nwendabai pada minit ke-18.

Dua gol Perak menyusul menerusi penyerangnya, Frank Seator (minit ke-54) dan gol ketiga menerusi ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar (minit ke-61).

Di Stadium Petaling Jaya, Ben Katanha muncul wira apabila gol penyamaan seminit sebelum tamat membantu MPPJ mencapai keputusan seri 1-1.

Kemenangan pada mulanya bakal memihak kepada Pahang apabila membuka tirai jaringan pertama menerusi penyerang utamanya, Bernard Tchoutang seawal minit ketujuh.

Pahang yang cuba mendekatkan diri untuk mencabar Perlis selaku pendahulu liga mula ceria untuk membawa pulang tiga mata penuh.

Namun impian Pahang lebur seminit sebelum tamat apabila Katanha bijak menyempurnakan peluang terhidang untuk menjaringkan gol penyamaan untuk mengikat kedudukan 1-1 hingga tamat perlawanan.

Di Stadium Likas, Sabah memperbaiki kedudukan apabila bertindak cemerlang untuk menewaskan Pulau Pinang 2-1.

Jelius Ating membuka tirai jaringan pertama pada minit ke-39 namun pemain Pulau Pinang Jose Bareto berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-59.

Gol kemenangan Sabah dijaringkan oleh Mohd. Reithudin Emran sembilan minit sebelum babak tamat.

Dengan keputusan itu, Sabah mengutip tiga mata penuh dengan 19 mata.

Di Stadium Hang Jebat, Telekom turut gagal menggunakan kelebihan di gelanggang sendiri apabila sekadar mencatat keputusan seri 0-0 bertemu Public Bank.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0522&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iXDkBTaK
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 7 Mei 2017

Serangan buat Perak resah



ARKIB : 04/02/2005

Oleh: KAMARUDDIN ISMAIL

IPOH - Kehadiran penyerang dari Brazil, Alison Merendez Marins diharapkan mampu menyelesaikan masalah ketumpulan serangan Perak supaya tidak kehilangan mata dalam persaingan Liga Super yang semakin rancak.

Pengurus pasukan, Datuk Jamal Nasir Rasdi mengakui skuad Seladang sedang menghadapi masalah ketumpulan serangan walaupun meletakkan beberapa orang pemain termasuk pemain kebangsaan, Mohd Noor Ismail.

Namun begitu, strategi yang digunakan oleh Perak itu masih gagal kerana banyak peluang gol dipersia-siakan oleh barisan serangan dengan melakukan tembakan kosong saja.

``Serangan Perak masih pincang dan kami amat memerlukan penyerang berprestasi tinggi supaya peluang gol tidak persia-siakan,'' jelas Jamal Nasir di Ipoh, semalam.

Kini, Perak hanya bergantung kepada Keita Mandjou dan bekas penyerang lincah dari Kedah, Mohd. Rafdi Rashid bagi menjaringkan gol kerana Mohd. Noor gagal beraksi dengan lebih berkesan dalam dua perlawanan setakat ini.

Jamal Nasir berharap kehadiran Marins yang dicadangkan oleh bekas bintang Brazil, Zico dapat memperbaiki kepincangan barisan serangan supaya tidak berpanjangan.

``Dari segi fizikal, Marins memang nampak hebat dan berharap permainannya juga hebat semasa di atas padang,'' jelas Jamal Nasir.

Marins pantas menambat perhatian para penyokong Kejor Yeop Kejor menggelarkan penyerang itu sebagai `Ronaldo Perak' kerana wajahnya seiras pemain terkemuka Brazil, Ronaldo.

Marins merupakan bekas pemain kelab Vasco Da Gama pada 1995 selepas keluar dari Akademi Bola Sepak Zico. Penyerang itu sebelum ini bermain di Sweden bersama kelab Osterjun di mana dia berjaya menjaringkan 18 gol tahun lalu.

Kepincangan barisan serangan Perak memang telah diduga sejak awal lagi apabila tiga penyerang utamanya mengambil keputusan berpindah ke negeri lain.

Perpindahan Mohd. Khalid Jamlus, V. Saravanan dan Liew Kit Kong menyebabkan serangan skuad Seladang lumpuh dan terpaksa bergantung kepada pemain muda seperti R. Surendren, K. Yoganathan dan Harizul Izuan Abd. Rani. Jamal Nasir juga meminta jurulatih dari Brazil, Toni Netto mencari seorang lagi penyerang import bagi digandingkan dengan Marins, Rafdi dan Mandjou kelak.

``Kami tidak boleh terlalu bergantung kepada seseorang penyerang sahaja kerana jika berlaku kecederaan sudah tentu akan melumpuhkan barisan serangan kelak,'' jelas Jamal nasir.

Dia berharap penyerang yang dicari-cari itu akan tiba di sini tidak lama lagi supaya dapat membentuk barisan serangan yang mantap.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4gOXPQRtG
© Utusan Melayu (M) Bhd