Ahad, 7 Mei 2017

Seladang tuntut hutang

ARKIB : 01/02/2005
IPOH - Skuad Perak mahu menuntut `hutang lama' daripada Public Bank apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi bola sepak Liga Super di Stadium Ipoh malam ini.
Sehubungan itu, jurulatih, Toni Netto menyatakan bahawa skuad Seladang akan menurunkan barisan terkuat bagi menyambut kedatangan Public Bank dan seterusnya mengutip tiga mata penuh.
Anak buah Netto difahamkan mahu menuntut hutang lama selepas kalah 4-1 kepada Public Bank dalam perlawanan terakhir mereka pada musim lalu.
Akibat kekalahan tersebut, Perak menjunam ke tangga keempat dari tangga kedua liga sedangkan skuad Seladang hanya memerlukan keputusan seri untuk muncul naib juara Liga Super.
Netto beranggapan perkara melunaskan hutang itu sebagai cerita lama yang mana kedua-dua pasukan mempunyai barisan pemain yang berbeza dengan musim lalu.
Namun begitu, jurulatih dari Brazil itu tidak menolak perkara tersebut akan menjadi salah satu motivasi kepada para pemain skuad Seladang untuk mengejar kemenangan kelak.
``Saya berharap pemain-pemain Perak tidak gugup lagi supaya tidak membuka ruang kepada pihak lawan untuk menjaringkan gol seperti mana yang berlaku Sabtu lalu,'' jelas Netto semalam.
Jurulatih itu mengakui dia agak gusar dengan persembahan beberapa orang pemain yang gagal mengawal perasaan sehingga permainan mereka kurang memuaskan ketika bertemu Perlis di Kangar pada Selasa lepas.
Selain itu, dia juga menarik nafas lega apabila pemain import, Marian Juhas dan V. Thirumurugan telah mempamerkan persembahan mantap dalam penampilan pertama.
``Kemantapan kedua-dua pemain itu bersama-sama Syamsol Saad dan Chan Wing Hoong sudah tentu menyukarkan pihak lawan menembusi benteng skuad Seladang kelak,'' tambahnya.
Jurulatih itu juga mahukan pemain kebangsaan, Mohd. Nor Ismail dan K. Yoganathan memainkan peranan lebih agresif dalam mendapatkan gol malam ini.
Beliau mahu para pemain melupakan keseronokan menjulang Piala Sumbangsih sebentar dan memberi tumpuan kepada permainan sulung di tempat sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan