ARKIB : 30/06/2005
KUALA LUMPUR - Frank Seator
mencipta jaringan hatrik bagi membantu juara bertahan, Perak membelasah Sabah
5-0 dalam perlawanan pertama pusingan suku akhir bola sepak Piala FA di Stadium
Likas di Kota Kinabalu, semalam.
Kemenangan bergaya itu
mencerahkan laluan Perak untuk mara ke separuh akhir, berbekalkan kelebihan
lima jaringan sebelum menanti kunjungan Sabah di Stadium Perak pada 13 Julai
ini.
Seator membuka jaringan pertama
pada minit ke-10 apabila merembat kencang menewaskan penjaga gol Sabah, Samsul
Sabtu.
Belum reda Sabah mengatur
gerakan Perak menambah gol kedua menerusi Keita Mandjou pada minit ke-20.
Selepas itu Sabah terus
tertekan melihat Seator meledakkan dua lagi jaringan pada minit ke-55 dan
ke-80.
Sabah yang ketinggalan 0-4 pada
satu ketika tergamam lagi apabila Mandjou menutup tirai jaringan apabila
meledakkan jaringan kelima lapan minit sebelum tamat.
Di Stadium Sultan Mohd. Ke-IV,
Muhammad Khalid Jamlus muncul penyelamat apabila jaringan penyamaan di
minit-minit terakhir membantu Selangor mencatat keputusan seri 1-1.
Di hadapan lebih daripada
15,000 penonton, Kelantan yang membuat kejutan menyingkirkan Perlis di pusingan
kedua, tangkas membuat kejutan ke atas Selangor.
Pada minit ke-14, penyerang
lincah Kelantan, Mohd. Sairozi Daud menggegarkan stadium apabila dia merembat
kencang menggegar jaring menewaskan penjaga gol Selangor, Jamsari Sabian.
Tersentak dengan gol awal
Kelantan, gandingan Bambang Pamungkas dan Khalid mengatur gerakan memburu gol
penyamaan tetapi sukar menembusi benteng tuan rumah.
Begitu pun pada minit terakhir
perlawanan hendak ditamatkan, Khalid Jamlus tidak mensia-siakan dalam keadaan
kelam kabut di kawasan kotak penalti Kelantan untuk merembat masuk gol
penyamaan menewaskan Mohd. Halim Napi.
Suasana perlawanan semakin
sengit dengan percikan bunga api juga menganggu ketenteraman pemain menyebabkan
pengadil terpaksa memberhentikan perlawanan selama lima minit bagi memastikan
keselamatan pemain.
Kesebelasan pemain Kelantan
juga merayu dan meminta peminat bola sepak tidak membaling objek bagi
meneruskan permainan.
Di Stadium Sultan Ismail
Nasiruddin Shah, Terengganu gagal menggunakan kesempatan bermain di gelanggang
sendiri apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1.
Terengganu membuka tirai
jaringan pertama pada minit ke-33 menerusi tandukan kencang Sapian Wahid
selepas menerima hantaran daripada Dos Santos.
Bagaimanapun, Kuala Lumpur
berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi K. Krishnan yang merembat kencang
gagal diselamatkan oleh penjaga gol kebangsaan, Syamsuri Mustafa.
Di Stadium Petaling Jaya pula,
Public Bank hampa apabila sekadar mencatat keputusan seri 3-3 ketika bertemu
PKNS.
Public Bank yang mendahului
PKNS 3-1 pada satu ketika menerusi jaringan Mohd. Nizaruddin Yusof (m-5 dan
m-31) dan Luis Fernando Espindola (m-45). Manakala gol PKNS dijaringkan oleh
Roman Chmelo (m-10)
Tetapi kerapuhan benteng
pertahanan melihat PKNS berjaya merapatkan jurang jaringan gol menerusi Rudie
Ramli (m-48) dan Slaven Bukal (m-71).
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0630&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iftS5P9v
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan