Ahad, 7 Mei 2017

Serangan buat Perak resah



ARKIB : 04/02/2005

Oleh: KAMARUDDIN ISMAIL

IPOH - Kehadiran penyerang dari Brazil, Alison Merendez Marins diharapkan mampu menyelesaikan masalah ketumpulan serangan Perak supaya tidak kehilangan mata dalam persaingan Liga Super yang semakin rancak.

Pengurus pasukan, Datuk Jamal Nasir Rasdi mengakui skuad Seladang sedang menghadapi masalah ketumpulan serangan walaupun meletakkan beberapa orang pemain termasuk pemain kebangsaan, Mohd Noor Ismail.

Namun begitu, strategi yang digunakan oleh Perak itu masih gagal kerana banyak peluang gol dipersia-siakan oleh barisan serangan dengan melakukan tembakan kosong saja.

``Serangan Perak masih pincang dan kami amat memerlukan penyerang berprestasi tinggi supaya peluang gol tidak persia-siakan,'' jelas Jamal Nasir di Ipoh, semalam.

Kini, Perak hanya bergantung kepada Keita Mandjou dan bekas penyerang lincah dari Kedah, Mohd. Rafdi Rashid bagi menjaringkan gol kerana Mohd. Noor gagal beraksi dengan lebih berkesan dalam dua perlawanan setakat ini.

Jamal Nasir berharap kehadiran Marins yang dicadangkan oleh bekas bintang Brazil, Zico dapat memperbaiki kepincangan barisan serangan supaya tidak berpanjangan.

``Dari segi fizikal, Marins memang nampak hebat dan berharap permainannya juga hebat semasa di atas padang,'' jelas Jamal Nasir.

Marins pantas menambat perhatian para penyokong Kejor Yeop Kejor menggelarkan penyerang itu sebagai `Ronaldo Perak' kerana wajahnya seiras pemain terkemuka Brazil, Ronaldo.

Marins merupakan bekas pemain kelab Vasco Da Gama pada 1995 selepas keluar dari Akademi Bola Sepak Zico. Penyerang itu sebelum ini bermain di Sweden bersama kelab Osterjun di mana dia berjaya menjaringkan 18 gol tahun lalu.

Kepincangan barisan serangan Perak memang telah diduga sejak awal lagi apabila tiga penyerang utamanya mengambil keputusan berpindah ke negeri lain.

Perpindahan Mohd. Khalid Jamlus, V. Saravanan dan Liew Kit Kong menyebabkan serangan skuad Seladang lumpuh dan terpaksa bergantung kepada pemain muda seperti R. Surendren, K. Yoganathan dan Harizul Izuan Abd. Rani. Jamal Nasir juga meminta jurulatih dari Brazil, Toni Netto mencari seorang lagi penyerang import bagi digandingkan dengan Marins, Rafdi dan Mandjou kelak.

``Kami tidak boleh terlalu bergantung kepada seseorang penyerang sahaja kerana jika berlaku kecederaan sudah tentu akan melumpuhkan barisan serangan kelak,'' jelas Jamal nasir.

Dia berharap penyerang yang dicari-cari itu akan tiba di sini tidak lama lagi supaya dapat membentuk barisan serangan yang mantap.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4gOXPQRtG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan