Sabtu, 6 Mei 2017

Perak sambar pemain Aceh

ARKIB : 11/01/2005
PERAK akan mengambil seorang pemain muda dari Aceh untuk mewakili pasukan itu dalam menghadapi saingan baru bola sepak Liga Malaysia musim ini.
Timbalan Presiden Persatuan Bola sepak Perak (PAFA), Datuk Jamal Nasir Rasdi berkata, Rachmana Dani, 20, mengikuti pasukan Perak yang pulang ke Ipoh selepas bermain dalam Piala Jemputan Gabenor Aceh yang berlangsung selama 10 hari di Banda Aceh bermula 3 Disember lepas.
Rachmana, pemain yang disifatkan sebagai mempunyai bakat yang baik, telah menjalani sesi pemilihan pasukan Perak dengan harapan mendapat kontrak bermain bersama pasukan itu.
Jamal Nasir berkata, akibat kejadian gempa bumi dan ombak tsunami yang melanda Aceh yang melibatkan ramai anggota keluarganya, Rachmana telah mengambil keputusan untuk ke Jakarta sementara menunggu masa yang sesuai untuk balik ke kampungnya yang musnah dalam bencana itu.
``Saya merasakan sebagai satu tanggungjawab sosial kita ambil dia sebagai pemain import apatah lagi memang hasrat ayahnya yang mahu dia beraksi di Malaysia,'' katanya.
Bagi kejohanan Piala Konfederasi Bola sepak Asia (AFC), sesebuah pasukan boleh mempunyai sehingga lima pemain import.
Jamal Nasir turut mengesahkan skuad bola sepak Perak akan mengambil dua lagi pemain import untuk mengisi barisan serangan kerana Khalid Jamlus dan V. Saravanan telah berhijrah masing-masingnya ke Selangor dan Pahang.
``Masalah utama kita sekarang ialah barisan serangan. Selain Rafdi Rashid, kita tidak ada penyerang yang betul-betul bagus. Kita akan cari penyerang yang baik untuk digandingkan dengan penyerang yang ada,'' katanya.
Beliau berkata, Perak akan menumpukan perhatian untuk mendapatkan pemain-pemain muda yang mempunyai stamina bagi menghadapi kejohanan bola sepak tahun ini.
``Pada perlawanan persahabatan dengan Pulau Pinang malam tadi, kita ketinggalan pada separuh masa pertama tetapi kita mampu bangkit untuk menang pada separuh masa kedua kerana pemain Pulau Pinang kepenatan sedangkan pemain muda kita masih bertenaga,'' katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan