ARKIB : 22/05/2005
KUALA LUMPUR - Perak
menghidupkan kembali peluang daripada tersingkir musim depan apabila bertindak
cemerlang menewaskan pendahulu Perlis 3-1 di Stadium Perak di Ipoh, semalam.
Perlis jelas tersentak tanpa
tiga pemain utama iaitu Zacharia Simukonda yang patah hidung selain kecederaan
Joao Bandoch dan Mohd. Ivan Mohd. Yusof gagal menguasai pentas saingan.
Sebaliknya Perak yang memburu
kemenangan untuk mengelakkan diri daripada tersingkir ke Liga Perdana musim
depan membuka tirai jaringan pertama menerusi Shahrulnizam Mustafa pada minit
ke-12 sebelum Perlis menyamakan kedudukan 1-1 hasil jaringan Owen Nwendabai
pada minit ke-18.
Dua gol Perak menyusul menerusi
penyerangnya, Frank Seator (minit ke-54) dan gol ketiga menerusi ketua pasukan,
Ahmad Shahrul Azhar (minit ke-61).
Di Stadium Petaling Jaya, Ben
Katanha muncul wira apabila gol penyamaan seminit sebelum tamat membantu MPPJ
mencapai keputusan seri 1-1.
Kemenangan pada mulanya bakal
memihak kepada Pahang apabila membuka tirai jaringan pertama menerusi penyerang
utamanya, Bernard Tchoutang seawal minit ketujuh.
Pahang yang cuba mendekatkan
diri untuk mencabar Perlis selaku pendahulu liga mula ceria untuk membawa
pulang tiga mata penuh.
Namun impian Pahang lebur
seminit sebelum tamat apabila Katanha bijak menyempurnakan peluang terhidang
untuk menjaringkan gol penyamaan untuk mengikat kedudukan 1-1 hingga tamat
perlawanan.
Di Stadium Likas, Sabah
memperbaiki kedudukan apabila bertindak cemerlang untuk menewaskan Pulau Pinang
2-1.
Jelius Ating membuka tirai
jaringan pertama pada minit ke-39 namun pemain Pulau Pinang Jose Bareto berjaya
menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-59.
Gol kemenangan Sabah
dijaringkan oleh Mohd. Reithudin Emran sembilan minit sebelum babak tamat.
Dengan keputusan itu, Sabah
mengutip tiga mata penuh dengan 19 mata.
Di Stadium Hang Jebat, Telekom
turut gagal menggunakan kelebihan di gelanggang sendiri apabila sekadar
mencatat keputusan seri 0-0 bertemu Public Bank.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0522&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iXDkBTaK
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan