Ahad, 10 Disember 2017

Skuad Perak menanti rebah

ARKIB : 08/10/2008
Oleh KAMARUDDIN ISMAIL
IPOH – Ibarat menanti rebah, Perak goyah apabila khabar angin bertiup kencang mengatakan lebih ramai lagi pemain utamanya akan disambar pasukan lain bagi menghadapi musim baru Liga Malaysia yang akan bermula 3 Januari depan.

Sepuluh lagi pemain utama skuad Kejor Yob Kejor dikatakan akan berhijrah ke negeri lain.

Setakat ini, dua pemain tengah, Mohd. Hardi Jafaar dan Shahrulnizam Mustafa kekal kerana masih mempunyai kontrak dengan Perak.

Sehingga ini, penjaring terbanyak tempatan, Mohd. Khalid Jamlus dan pemain pertahanan kebangsaan, Ahmad Azlan Zainal akan beraksi dengan skuad Kelantan musim depan.

Benteng pertahanan Perak juga menanti parah apabila seorang lagi pemain posisi tersebut, Chan Wing Hoong dikatakan mula diintai Brunei.

Penjaring terbanyak Piala Presiden 2007, Razali Umar Kandasamy mungkin disambar oleh sebuah pasukan kelab di Lembah Kelang.

Seorang pemain berpengalaman Perak yang enggan namanya disiarkan mengakui pemain-pemain berkenaan sudah dipancing oleh beberapa buah negeri.

Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Perak (KPBP), Abdul Jamil Othman meminta Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) supaya bertindak segera mengikat pemain berpengalaman daripada meninggalkan negeri itu.

‘‘ Saya tidak dapat mengesahkan kebenarannya dan tidak mengetahui negeri-negeri yang memancing mereka,” jelas beliau.

Namun begitu, beliau mengakui soal perpindahan 10 pemain utama Seladang memang hangat diperkatakan oleh para penyokong sejak bulan lalu.

‘‘Skuad Seladang mungkin lumpuh jika perpindahan beramai-ramai pemain berkenaan menjadi kenyataan,” tambahnya.

Dalam pada itu, PAFA dijangka mengadakan perbincangan serius dengan para pemain apabila Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengambil alih kepemimpinan persatuan itu pada pertengahan bulan ini.

Jawatan Presiden PAFA kini dipangku oleh Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah manakala Steve Darby pula merupakan pengurus dan jurulatih pasukan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pertanian dan Perdagangan Negeri Perak, Jamaluddin Mohd. Radzi disebut-sebut sebagai pengurus pasukan yang baru.

Perak juga belum melantik jurulatih dan penolong jurulatih yang akan mengendalikan skuad Seladang bagi musim akan datang.

Namun begitu, bekas jurulatih Perak pada tahun 1990, M. Karathu semakin panas dikaitkan dengan jawatan jurulatih skuad Seladang.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1008&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz50s6t2fvu

© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 6 Disember 2017

Perak senasib Kedah dibelasah 5-0

ARKIB : 25/09/2008
IPOH - Perak gagal mengekang kekuatan kelab dari Lebanon apabila dibelasah 5-0 oleh Safa SC dalam pertemuan suku akhir kedua Piala AFC di Stadium Sport City, Beirut, kelmarin.

Kemenangan tersebut membolehkan wakil dari Lebanon itu layak ke separuh akhir dengan agregat 7-0.

Safa SC berjaya mencatat kemenangan 2-0 dalam pertemuan pertama kedua-duanya di Ipoh pada 16 September lalu.

Perak yang beraksi tanpa bintang penyerang berjaya mempertahankan pintu golnya daripada bolos selama 42 minit.

Namun, Safa SC berjaya memecah kebuntuan apabila membuka tirai jaringan melalui penyerang kebangsaan Lebanon, Rony Azar pada minit ke-43.

Penyerang itu juga menyumbat gol kedua, dua minit kemudian untuk selesa mendahului Perak 2-0 pada separuh masa pertama.

Skuad Seladang bertandang ke Beirut tanpa penjaring utama, Carlos Caceres yang pulang ke Chile manakala Mohd. Khalid Jamlus pula mengalami kecederaan.

Selain itu, dua penyerang muda, Razali Umar Kandasamy dan Ahmad Fakri Saarani juga tidak bersama-sama skuad Seladang ke sana.

Skuad Seladang terpaksa bergantung kepada tiga pemain tengah, Ahmad Shahrul Azhar, Danial Fadzly dan Mohd. Nor Ismail untuk menerajui serangan.

Safa SC telah mengambil kesempatan dengan kegoyahan Perak untuk menambah jaringan ketiga melalui pemain import dari Maghribi, Hamid Termina pada minit ke-53.

Selepas itu, pemain gantian, Mohammad Kassas yang dimasukkan untuk mengambil tempat Hussien Tahan menambah jaringan keempat pada minit ke-67.

Seorang lagi pemain gantian Safa SC, Mahmoud El Zoughbi yang menggantikan Rony Azar menyumbatkan gol kelima pada minit ke-84.

Perlawanan di Beirut itu juga merupakan tugasan terakhir Steve Darby selaku jurulatih Perak yang mana Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) dijangka melakukan rombakan besar-besaran pada pertengahan bulan depan.

Bekas jurulatih Perak, M. Karathu disebut-sebut akan menggantikan Darby.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0925&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz50TOynUp0

© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 5 Disember 2017

Perak perlu keajaiban ubah keputusan

ARKIB : 18/09/2008
IPOH - Perak memerlukan keajaiban untuk mengejar Safa SC dari Lebanon dalam perlawanan kedua suku akhir Piala AFC di tempat lawan pada 23 September ini.

Dalam perhitungan kedua itu, Perak mesti mendapatkan sekurang-kurang dua gol bagi melangkah ke separuh akhir piala tersebut.

Sebaliknya, Safa SC berada pada kedudukan yang selesa apabila menumpaskan Perak 2-0 di sini, kelmarin.

Gol Rony Azar pada minit ke-38 dan pemain import dari Maghribi, Hamid Termina pada minit ke-55 membuatkan Safa SC pulang dengan senyum lebar.

Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah mengakui harapan Perak semakin sukar setelah ketinggalan dua gol.

Namun begitu, beliau tetap percaya Perak masih mampu bangkit mengejar Safa SC jika dapat mempertajamkan semula barisan serangan.

Katanya, Perak terpaksa bermain tanpa pemain penyerang yang mampu menggegar pintu pasukan pelawat itu kelmarin.

Perak hanya mampu mengancam pintu gol Safa SC pada minit ke-23 dan 65 melalui cubaan berbahaya Mohd Hardi Jaafar.

''Skuad Seladang kehilangan semua penyerang utamanya kerana masalah kecederaan," jelas Muhiyuddin.

Kelmarin, Perak terpaksa beraksi tanpa penjaring terbanyak, Carlos Caceres yang pulang ke Chile dan penyerang muda, Razali Umar Kandasamy digugurkan kerana masalah disiplin.

Khidmat penyerang berbakat, Ahmad Fakri Saarani tidak dapat digunakan kerana bersama-sama skuad kebangsaan.

Penyerang lincah, Mohd. Khalid Jamlus yang berseorangan hanya mampu beraksi selama sepuluh minit sebelum dikeluarkan kerana masalah kecederaan.

''Perak akan memperbaiki kepincangan barisan serangan segera agar dapat mempamerkan permainan yang lebih baik kelak," tambahnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0918&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz50Rs10ddr

© Utusan Melayu (M) Bhd

Perak gagal kekang Safa SC

ARKIB : 17/09/2008
Oleh KAMARUDDIN ISMAIL
 
Pemain Perak, Hardy Jaafar (tengah) diasak oleh Kapten Kelab Safa SC, Amer Khan (dua dari kiri) dalam pertembungan pusingan suku akhir pertama Piala AFC 2008 di Stadium Perak semalam. Perak kalah 0-2.
- Gambar HANAFI KHAMIS

IPOH - Kelab Safa SC dari Lebanon semakin hampir ke separuh akhir Piala AFC apabila berjaya menumpaskan Perak 2-0 dalam perlawanan suku akhir pertama di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.

Pasukan pelawat memperoleh dua gol melalui rembatan Rony Azar (m-38) dan pemain import dari Maghribi, Hamid Termina pada minit ke-55.

Pasukan tuan rumah terpaksa memulakan perlawanan dalam keadaan tempang dengan ketiadaan penjaring terbanyak, Carlos Caceres yang sudah pulang ke Chile.

Ketiadaan Caceres membuatkan Perak terpaksa bergantung harapan kepada Mohd. Khalid Jamlus dan Razali Umar Kandasamy bagi menerajui serangan.

Namun begitu hasrat Perak tidak kesampaian untuk melihat gandingan kedua-dua penyerang tersebut apabila Razali menghilang diri tanpa dikesan.

Khalid yang diturunkan berseorangan di barisan serangan hanya mampu beraksi selama sepuluh minit sahaja apabila digantikan oleh Danial Fadzly setelah penyerang itu tercedera.

Ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar bersama-sama Danial Fadzly terpaksa menerajui barisan serangan.

Safa SC yang menurunkan tiga pemain kebangsaan Lebanon memulakan perlawanan tersebut dalam keadaan berhati-hati.

Ketiga-tiga pemain berkenaan adalah Mohamad Korhani, Ramez Dayoub dan Amer Khan.

Perak terlepas peluang mengejutkan Safa SC apabila Mohd. Hardi Jaafar gagal merembat dengan baik walaupun berdepan dengan penjaga gol, Nazih Tay pada minit ke-23.

Penjaga gol Perak, Mohd. Nasril MaT Nourdin mempamerkan kecekapan dengan menangkis rembatan kencang Rony Azar pada minit ke-36.

Akhirnya, gawang Perak bocor melalui tendangan cantik oleh Rony Azar yang menyambut hantaran yang dilakukan oleh ketua pasukan, Amer Khan pada minit ke-38.

Safa SC yang menurunkan tiga pemain import, Pierre Millat dari Camerron, Hamid Termina dari Maghribi dan Mba Derick Ebi dari Nigeria berjaya mengekang rentak permainan Perak.

Pintu gol Perak bocor lagi pada minit ke-55 apabila tandukan cantik yang dilakukan oleh Hamid Termina gagal ditangkis oleh penjaga gol, Mohd Nasril.

Hasrat Perak merapatkan jurang perbezaan gol berkecai apabila rembatan cantik yang dilakukan oleh Mohd Hardi pada minit ke-65 sempat ditepis oleh penjaga gol, Nazih Tay.

Selepas itu, kedua-dua pasukan berusaha mendapat gol tetapi gagal melakukannya.

Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi untuk suku akhir kedua di Stadium City Lebanon pada 23 September ini.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0917&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz50RfGLFij

© Utusan Melayu (M) Bhd

Azlan tolak tepi masalah gaji

ARKIB : 16/09/2008
KUALA LUMPUR - Demi pasukan dan penyokong setia, pemain pertahanan Perak, Ahmad Azlan Zainal berjanji akan bermain bermati- matian malam ini menentang pasukan Safa FC dalam perlawanan suku akhir pusingan pertama Piala AFC, walaupun pasukannya dilanda masalah pemberian gaji kepada pemain, lapor FERZALFIE FAUZI.

Menurut pemain kebangsaan itu, menjelang perlawanan penting malam ini dia dan rakan-rakan sudah bersedia seratus peratus untuk memberi tentangan kepada pasukan dari Lebanon itu.

''Saya akan melakukan yang terbaik dan mengharapkan strategi yang dicorakkan oleh jurulatih semasa latihan sebelum ini menjadi,'' kata Azlan ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, dia sudah tidak sabar untuk beraksi dan mengharapkan berkat bulan Ramadan ini kejayaan bakal diciptakan oleh para pemain Seladang.

''Kami berada dalam keadaan bersedia dan apa yang saya lihat persefahaman antara kami juga baik, walaupun dilanda dengan masalah tunggakan gaji.

''Saya tidak menafikan masalah tunggakan gaji sedikit mempengaruhi kami, tetapi perjuangan harus diteruskan demi untuk pasukan dan peminat setia pasukan Seladang,'' kata pemain yang berasal dari Teluk Intan itu.

Ujarnya, latihan yang dijalankan setiap malam dan perlawanan persahabatan antara beberapa kelab bola sepak di Ipoh menjadi ujian terakhir pasukan Perak sebelum beraksi di Stadium Ipoh malam ini.

''Saya harap penyokong-penyokong Perak dapat membanjiri stadium malam ini untuk memberikan sokongan padu dan kami berjanji akan melakarkan kejayaan di halaman sendiri,'' kata Azlan.

Ditanya mengenai hala tujunya bersama pasukan Perak pada musim depan, Azlan berkata dia masih belum pasti lagi sama ada kekal atau tidak bersama pasukan Seladang.

''Saya masih belum membuat keputusan muktamad lagi, setakat ini sudah ada tiga pasukan sudah menyatakan hasrat untuk mendapatkan khidmat saya,'' katanya.

Sementara itu pasukan Kedah sudah tiba di Bahrain untuk menentang Muharraq dalam satu lagi perlawanan suku akhir pusingan pertama Piala AFC yang juga akan berlangsung malam ini.

Sebelum ini belum ada pasukan dari Malaysia yang berjaya melepasi peringkat suku akhir Piala AFC yang mula diperkenalkan pada tahun 2004.

Dalam pada itu di IPOH, Kelab Safa FC berazam mahu membawa pulang bekalan yang mencukupi dalam perlawanan pertama suku akhir menentang Perak.

Jurulatih Safa FC, Samir Saad berharap, para pemainnya dapat menggunakan peluang gol dengan sebaik - baiknya.

'' Safa FC mampu mengatasi Perak jika para pemain tidak mensia-siakan peluang terbaik tersebut," jelas Samir.

Jurulatih itu berkeyakinan Safa FC mampu membawa pulang beberapa gol kerana kelab tersebut akan menurunkan lima pemain kebangsaan Lebanon pada malam ini.

Safa FC akan menyenaraikan tiga pertahanan Lebanon seperti Ali Al Saadi, Mohamad Korhani dan Ramez Dayoub.

Selain itu, dua pemain tengah Lebanon, Khodr Salame dan Amer Khan akan mencorak serangan Safa FC bagi mendapatkan gol
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0916&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz50PzypQne

© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 28 November 2017

PAFA panggil pemain mengamuk

ARKIB : 08/07/2008
IPOH - Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) akan memanggil pemain Perak yang mengamuk di Stadium Utama, Kangar Ahad lalu untuk mengetahui perkara sebenar, apa yang berlaku, lapor KAMARUDDIN ISMAIL.

Naib Presiden PAFA, Khairuddin Ahmad berkata, pihaknya juga mahu mendapatkan laporan penuh daripada jurulatih, Steve Darby mengenai insiden itu.

''Selepas itu, PAFA akan berbincang mengenai tindakan yang akan diambil ke atas pemain berkenaan apabila menerima laporan dari semua pihak," tambahnya, ketika dihubungi semalam.

Dia diminta mengulas mengenai seorang pemain Perak yang dikatakan mengamuk dengan menendang pintu cermin bilik persalinan pasukan pelawat di Stadium Utama, Kangar, Perlis, Ahad lalu.

Kejadian itu berlaku sebaik sahaja tamat perlawanan Piala Malaysia Kumpulan C antara Perak dengan Perlis.

Dalam perlawanan itu, Perak kalah 1-3 yang mana ketua pasukannya, Ahmad Shahrul Azhar Sofian dibuang padang ekoran mengasari pemain Perlis, K. Soley pada minit-minit terakhir perlawanan.

Khairuddin yang memangku jawatan Timbalan Presiden PAFA tidak mengetahui sebab kenapa pemain berkenaan bertindak sedemikian.

Beliau juga tidak menamakan pemain berkenaan dan posisinya.

Namun begitu, Naib Presiden PAFA tersebut menasihati semua pemain supaya dapat mengawal emosi masing-masing dalam apa jua keadaan.

''Sebagai pemain profesional, mereka perlu bijak menangani cabaran yang menyentuh emosi," jelas Khairuddin.

Beliau berharap insiden berkenaan tidak akan berulang lagi pada masa akan datang
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0708&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zj0RXgUy

© Utusan Melayu (M) Bhd

Pemain Perak mengamuk

ARKIB : 07/07/2008

Penyelaras venue, Jalaludin Kamaruddin menunjukkan pintu bilik persalinan pelawat yang pecah ditendang salah seorang pemain Perak di Stadium Utama Kangar kelmarin.

KANGAR - Seorang pemain Perak mengamuk dengan memecahkan pintu bilik persalinan pemain di Stadium Utama di sini kerana dipercayai tidak puas hati dengan corak pengadilan semasa perlawanan bola sepak Piala Malaysia antara Perlis dengan Perak di sini, kelmarin, lapor JOHARI SHAWAL.

Pemain berkenaan dikatakan menendang cermin pintu bilik persalinan pasukan pelawat itu beberapa kali sehingga pecah.

Kejadian berlaku sebaik tamat perlawanan itu dan ketika semua pemain berjalan masuk ke bilik persalinan berkenaan.

Tinjauan di bilik persalinan itu mendapati, pintu kaca di bilik berkenaan pecah dan kaca dilihat bertaburan di sekitar bilik persalinan berkenaan.

Perbuatan pemain tengah pasukan pelawat itu dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hatinya terhadap mutu pengadilan perlawanan yang dikatakan banyak memihak kepada pasukan tuan rumah.

Tindakan pemain itu juga menyebabkan beberapa peminat dan penyokong pasukan tuan rumah yang menyedari kejadian itu tidak berpuas hati dan berkumpul di luar stadium sambil menjerit meminta pemain itu keluar dari bilik persalinan dan bersemuka dengan mereka.

Keadaan itu menyebabkan polis terpaksa mengawal keadaan termasuk mengiringi bas yang membawa pemain Perak meninggalkan stadium.

Bagaimanapun, tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) telah membuat laporan polis tengahari semalam berhubung kejadian itu. Laporan dibuat oleh Setiausaha Eksekutif PFA, Ku Basri Ku Aziz di balai polis Kangar.

Salinan laporan polis itu akan dihantar kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk tindakan lanjut.

Pengurus pasukan, Datuk Ismail Kassim yang mewakili PFA berkata, laporan berbentuk aduan itu akan dihantar dalam tempoh terdekat.

Menurut Ismail, tindakan pemain itu sama sekali tidak profesional dan tidak wajar dan FAM harus mengenakan hukuman yang setimpal dengan perbuatannya.

"Tetapi itu terpulang kepada FAM bagaimana bentuk hukuman yang boleh dikenakan ke atas pemain itu. Bagi kami, kami akan hantar laporan mengenai tindakan keterlaluan pemain itu," katanya ditemui selepas perlawanan itu.

Ismail turut tidak menafikan perbuatan pemain itu mungkin disebabkan rasa tidak puas hati dengan beberapa keputusan pengadil dalam perlawanan itu.

"Sebagai pemain profesional, dia tidak harus bertindak begitu. Apa pun, kita tunggulah sahaja apa tindakan yang akan diambil oleh FAM selepas laporan dihantar," katanya.

Dalam perlawanan yang diadili oleh pengadil, Subkhidin Mohd. Salleh itu, Perak tewas 3-1 kepada Perlis yang turut menyaksikan ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar Sofian dibuang padang pada penghujung perlawanan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0707&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zdiiFohN
© Utusan Melayu (M) Bhd


Ahad, 26 November 2017

Perak terharu sikap pemain

ARKIB : 21/06/2008
IPOH - Para pemain Liga Super Perak perlu menunggu sepuluh hari lagi sebelum menerima tunggakan gaji yang didakwa sudah tiga bulan tidak dibayar.

Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah memberitahu, kemungkinan gaji para pemain akan dibayar pada awal bulan depan.

Begitupun beliau tidak menyatakan jumlah gaji yang akan dibayar kepada pemain.

''PAFA akan bayar gaji mengikut kemampuan kewangan yang diterimanya daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)," kata Muhiyuddin semalam.

Kelmarin Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzauddin Ahmad menyatakan bahawa badan induk bola sepak negara itu itu akan membayar baki 50 peratus geran tahunan kepada semua pasukan dalam Liga Malaysia pada akhir bulan ini.

Geran tahunan bagi pasukan dalam Liga Super termasuk Perak adalah RM250,000.

Berita pembayaran baki geran tahunan itu sudah pasti melegakan para pemain Perak yang tidak bergaji sejak tiga bulan lalu.

Muhiyuddin melahirkan rasa terharu dengan sikap profesional para pemain Perak yang tidak mudah melenting walaupun tidak menerima gaji selama tiga bulan.

''Mereka masih mampu beraksi dengan baik pada permulaan saingan Piala Malaysia pada 11 Jun lalu," jelasnya.

Perak yang berada dalam Kumpulan C mencatat keputusan seri 1-1 dengan Perlis pada perlawanan pertama Piala Malaysia, baru-baru ini.

Skuad Seladang akan bertandang ke Kuantan untuk menentang Pahang pada 24 Jun ini.

Muhiyuddin berharap pembayaran gaji tersebut akan menyemarakkan lagi semangat para pemain untuk membawa pulang tiga mata penuh di Kuantan.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0621&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zc2QONoi

© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 18 November 2017

Piala AFC: Perak, Kedah kena belasah



ARKIB : 19/03/2008 
IPOH – Perak terpaksa menelan kepahitan apabila dibelasah 1-6 oleh wakil Singapura, Angkatan Tentera Singapura (ATS) pada perlawanan kedua Kumpulan E Piala AFC di Stadium Perak, semalam, lapor Kamaruddin Ismail.

Kekalahan besar itu meletakkan Perak kekal di tangga kedua kumpulan tersebut selepas menang 3-1 ke atas wakil Maldives, New Radiant di tempat lawan sebelum ini.

Kubu Perak bocor seawal minit kesembilan sebaik Chaiman Thaisak membuka jaringan buat pasukan pelawat.

Ini disusuli dengan empat gol berturut-turut menerusi Guric Aleksander pada minit ke-43, 49, 71 dan 74 di samping satu gol lagi sumbangan Mustaqim Manzur Ahmed Khan (m-58).

Gol sagu hati Perak pula dijaringkan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Mario Barios pada minit ke-45.

Jentera Perak ternyata pincang sebaik penyerang utamanya, Carlos Caceres dikeluarkan pada minit ke-44 dan ini menyaksikan Khalid Jamlus terpaksa bertindak berseorangan di bahagian depan.

Sementara itu, satu lagi wakil negara, Kedah turut dibelasah 1-5 juga oleh wakil Singapura, Home United pada perlawanan di Stadium Jalan Besar.

Kedah bagaimanapun lebih dulu berada di depan hasil jaringan Shafiq Jamal sebelum Singapura melakukan amukan lima gol menerusi Kengne Ludovick (2 gol), Peres de Oliviera (2 gol) dan Sharik Ishak.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0319&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4ypbxctJD
© Utusan Melayu (M) Bhd

Piala AFC: Kedah, Perak cemerlang



ARKIB : 12/03/2008

KUALA LUMPUR – Kedah dan Perak memulakan kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dengan cemerlang apabila menang ke atas lawan masing-masing semalam.

Perak mencatat kemenangan selesa 3-1 atas kelab Maldives, New Radiant, yang bermain dengan sepuluh pemain dalam Kumpulan C di tempat lawan.

Manakala juara Piala Malaysia musim lalu, Kedah mengutip tiga mata penuh apabila menumpaskan wakil Maldives, Victory SC 1-0 dalam saingan Kumpulan D di Stadium Darulaman, Alor Star.

Di Maldives, Perak ketinggalan menerusi jaringan Daniel Mbock pada minit ketujuh namun bangkit dengan jaringan penyamaan Carlos Caceres seminit kemudian.

Tuan rumah terpaksa beraksi di sepanjang babak kedua dengan 10 pemain apabila Mohamed Shifan dilayangkan kad kuning kedua di minit ke-34.

Tiga minit kemudian Khalid Jamlus meletakan Perak 2-1 di depan hasil kesilapan Ibrahim Amil dengan rembatan deras.

Di Alor Star, kemenangan Kedah menjelma pada minit ke-48 menerusi Fauzi Shaari.

Kedah, juara tiga piala musim lalu memulakan perlawanan dengan berhati-hati, selepas tewas 0-2 pada pusingan pertama Piala FA di tangan PKNS Selangor.

Penyerang Marlon Alex James, yang menjaringkan 18 gol dalam Liga Super dikawal ketat pertahanan pelawat sehingga sukar melakukan percubaan.

Merembat

Namun Kedah masih dapat melancarkan beberapa peluang gol pada minit ke-14 menerusi pemain tengah Shafiq Jamal yang merembat deras namun berjaya diselamatkan penjaga gol pasukan pelawat, Imran Mohamed.

Tiga minit sebelum rehat, Kedah di depan apabila Fauzi Shaari menyambar hantaran silang Badrol Bakhtiar dengan rembatan deras ke gawang.

Jaringan tersebut memaksa pelawat menukar corak permainan untuk mencari gol penyamaan tetapi benteng Kedah kental bertahan mengelak gol dibolosi.

Perlawanan menjadi semakin tegang menyebab empat pemain Kedah dilayangkan kad kuning, manakala jurulatih Mohd Azari Khor turut diarah meninggalkan tempat duduki pemain.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0312&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4ypECcrBA
© Utusan Melayu (M) Bhd