
ARKIB : 25/08/2005
PEMAIN Pahang, Teafort Bennet
(tengah) dikepung dua pemain Kedah pada perlawanan bola sepak Piala Malaysia di
Stadium Darul Makmur, malam tadi. Kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan.
KUALA LUMPUR - Juara musim
2000, Perak menjadi pasukan pertama layak ke suku akhir bola sepak Piala
Malaysia selepas berjaya mengikat Selangor 1-1 dalam aksi Kumpulan D di Stadium
Shah Alam, malam tadi.
Juara terbanyak Piala Malaysia,
Selangor pula kini memerlukan sekurang-kurangnya satu mata pada perlawanan
terakhir menentang MK Land untuk mengiringi Perak ke suku akhir.
Perak, juara Piala Malaysia
empat kali, kini mengumpul 10 mata selepas lima perlawanan dan tidak mampu
dipintas oleh dua lagi pasukan, MK Land dan Public Bank manakala Selangor di
tangga kedua dengan lapan mata.
Skuad Seladang mendahului 1-0
pada minit ke-52 menerusi jaringan Keita Mandjou tetapi Mohd. Shukor Adan
menyamakan kedudukan pada minit terakhir untuk Selangor meraih satu mata berharga.
Public Bank mencatat kemenangan
pertama selepas menewaskan MK Land 3-1 di Stadium Selayang tetapi sudah
terkeluar daripada persaingan ke suku akhir.
Dua gol jaringan Mohd. Fareed
Shah pada lewat permainan memberi tiga mata berharga buat Public Bank selepas
kedudukan terikat 1-1 sehingga minit ke-82.
Amir Shahrin Mubin membuka
jaringan untuk Public Bank pada minit ke-49 tetapi MK Land menyamakan kedudukan
menerusi Shahrin Majid minit ke-82 sebelum dua gol Fareed minit ke-84 dan 90
menggembirakan kem Public Bank.
Di Stadium Sultan Ismail
Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, hajat juara bertahan, Perlis untuk muncul
pasukan pertama layak ke suku akhir terbantut setelah tewas kepada Terengganu
1-0.
Gol Sapian Wahid pada minit
ke-71 hasil tendangan gunting di depan gawang memusnahkan impian Perlis.
Bagaimanapun, pasukan bimbingan Abdul Rahman Ibrahim itu masih cerah untuk ke
suku akhir dengan kekal di tangga teratas Kumpulan A dengan 10 mata.
PKNS turut berpeluang ke suku
akhir selepas menang 3-1 ke atas Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Igor Tonich menjaringkan dua
gol untuk PKNS pada minit ke-87 dan 90 selepas Roman Shamelo membuka jaringan
untuk pasukan pelawat minit ke-54.
Henry Saimpon menyamakan
kedudukan untuk Sabah empat minit selepas itu.
Persaingan Kumpulan B semakin
sengit selepas Pulau Pinang menundukkan pendahulu, Negeri Sembilan 2-1 di
Stadium Bandaraya untuk melonjak ke tangga teratas dengan lapan mata.
Pemain import, Viatcheslav
Melnikov muncul wira Pulau Pinang dengan menjaringkan kedua-dua gol minit ke-66
dan 78 selepas Christian Dekamengo mengejutkan pasukan pelawat dengan jaringan
minit ke-58.
Telekom Melaka turut memintas
Negeri Sembilan selepas menundukkan Kuala Lumpur 3-0 di Stadium KLFA menerusi
jaringan Tengku Hasbullah (1), Munir Amran (65) dan Khairulzal Azmi (89).
Persaingan Kumpulan C pula
menyaksikan dua pasukan teratas, Pahang dan Kedah terikat tanpa jaringan di
Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Begitupun, MPPJ memungut tiga
mata untuk berkongsi kedudukan dengan Kedah dengan lapan mata selepas mengatasi
Johor FC 2-0 di Stadium Petaling Jaya.
Gol MPPJ dijaringkan oleh Ben
Katana minit 21 dan 45.
Pahang di tangga ketiga dengan
tujuh mata selepas empat perlawanan.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0825&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ivWRwdI2
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan