
ARKIB : 28/08/2005
PENYERANG import Perak, Frank
Seator (kiri) dari Liberia melakukan percubaan sambil cuba dihalang oleh pemain
Kuala Lumpur, Gasili Pengalot dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA di
Stadium Perak, Ipoh semalam. Perak menang 2-0. - Gambar HANAFI KHAMIS.
PENYANDANG juara, Perak
mencipta bekalan selesa untuk mengulangi kejayaan ke perlawanan akhir apabila
menggunakan kesempatan terbaik beraksi di gelanggang sendiri dengan menumpaskan
Kuala Lumpur 2-0 dalam aksi separuh akhir pertama bola sepak Piala FA di
Stadium Perak, Ipoh malam tadi.
Pasukan tuan rumah mendahului
1-0 pada babak pertama. Frank Seator mencipta jaringan pertama apabila
menjaringkan gol pada minit ke-39.
Penyerang dari Liberia itu
merembat kencang selepas menerima bola hantaran cantik Wirat Nom sekali gus
menewaskan penjaga gol Kuala Lumpur, Saiful Amar Sudar.
Perlawanan agak seimbang pada
babak pertama meskipun Perak berjaya menembusi pintu gol pasukan pelawat.
Dengan kehadiran 25,000
penonton yang memenuhi stadium, Perak menguasai aksi pada babak kedua dengan
gol kedua menyusul pada minit ke-57 hasil jaringan Keita Mandjou.
Penyerang import Perak berasal
dari Republik Guinea itu berjaya menembusi pertahanan Kuala Lumpur dan
melakukan rembatan leret hasil bola umpanan Wirat Nom.
Kedua-dua pasukan akan bertemu
dalam aksi separuh akhir kedua pada 10 September di Kuala Lumpur.
Sementara itu di Stadium Shah
Alam, kelebihan bermain di gelanggang sendiri gagal dimanfaatkan Selangor
apabila sekadar seri 2-2 dengan Public Bank pada satu lagi separuh akhir
pertama semalam.
Selangor patut menyalahkan
kerapuhan benteng pertahanan selepas selesa mendahului 2-1 pada satu ketika
namun pemain gantian Public Bank, Wong Sai Kong menjadi pemusnah dengan gol
penyamaan pada masa kecederaan.
Terdahulu di babak pertama,
Selangor ketinggalan 0-1 hasil jaringan pemain lawan, Mohd. Hardi Ahmad (m34)
yang menampan kemas bola hantaran Gustavo Andres Fuentes.
Bagaimanapun Selangor bingkas
bangkit dengan menyamakan kedudukan menerusi Brian Fuentes pada minit ke-45
dengan melakukan sepakan lambung dari luar kotak penalti.
Pasukan Merah Kuning itu
kemudiannya mendahului pada minit ke-57 hasil jaringan D. Surendren.
Selangor kini perlu lebih
berhati-hati apabila turun sekali lagi pada separuh akhir kedua 10 September
ini jika ingin mara ke perlawanan akhir.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0828&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ivaClQat
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan