Jumaat, 23 Jun 2017

Perak terus terajui Liga Super



ARKIB : 02/04/2006
KUALA LUMPUR - Perak masih mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu Liga Super walaupun hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 ketika bertemu Selangor di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Ketua pasukan Keita Mandjou menjadi penyelamat apabila menyamakan kedudukan setelah Perak ketinggalan pada satu ketika.

Mandjou mencipta gol penyamaan apabila mencipta jaringan pada minit ke-62 setelah ketinggalan 1-0 apabila Selangor menerusi Nazzab Hidzan membuka jaringan pada minit ke-54.

Di Stadium Paroi, tuan rumah Negeri Sembilan Naza sekadar seri 1-1 ketika bertemu Pahang.

Keputusan seri itu tidak menggugat kedudukan Negeri Sembilan yang masih kekal berada di tangga kedua di belakang Perak terikat dengan 26 mata.

Negeri Sembilan membuka jaringan menerusi Razali Zambri pada minit ke-34 hasil lorongan Anuar Jusoh.

Bagaimanapun pelawat menyamakan kedudukan 1-1 menerusi pemain import Josiah Seton pada minit ke-40.

Di Stadium Utama Negeri, Perlis menerima tamparan hebat apabila tewas 4-2 kepada Telekom Melaka.

Perlis membuka jaringan pertama pada minit ke-33 menerusi Philimon Chepita yang menanduk masuk hantaran daripada sebelah kanan.

Bagaimanapun Telekom menyamakan kedudukan 1-1 menerusi jaringan Hafizi Awang pada minit ke-40 menewaskan Tay Seng Kiat.

Tiga gol pelawat dijaringkan oleh Thasswe Nsofwa (m-51), Ponaroyo Astaman (m-71) dan Hardi Jaafar (m-76).

Manakala gol kedua Perlis dijaringkan oleh Mohd. Nazaruddin Md Zain pada minit ke-58.

Di Stadium Bandaraya, kelebihan bermain di gelanggang sendiri digunakan sepenuhnya buat Pulau Pinang E&O apabila memahatkan kemenangan mudah 3-0 mengatasi MPPJ.

Gol-gol Pulau Pinang E&O dijaringkan oleh Zulhisham Jamaluddin (m-22), M. Parakash (m-45) dan Rosli Azizan (m-81)

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0402&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4kq3i3rUx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan