ARKIB : 12/03/2006
PEMAIN Pulau Pinang, Mario
Cesar Da Silva (kanan) mengasak pemain Perlis, Phillimon Chipeta dalam saingan
bola sepak Liga Super di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang, semalam.
Pulau Pinang menang 1-0. - Gambar SAZALI CHE DIN.
KUALA LUMPUR - Perak
menjarakkan kedudukan dengan pencabar terdekat, MPPJ selepas pertarungan antara
dua pasukan teratas dalam bola sepak Liga Super itu memihak kepada skuad
Seladang yang menang 2-1 di Stadium Petaling Jaya, semalam.
Sebelum perlawanan, kedua-dua
pasukan terikat 22 mata selepas 11 perlawanan dan kemenangan Perak membuka
jurang tiga mata antara dua pasukan itu dengan Perak memungut 25 mata.
Reputasi Mandjou selaku
pendahulu senarai penjaring terbanyak Liga Super terbukti apabila pemain itu
membuka tirai jaringan pertama menerusi tandukan cantik hasil hantaran K.
Yoganathan pada minit ke-44.
Bagaimanapun, MPPJ kembali
bertenaga apabila penyerang import dari Argentina, Juan Manuel Arostegui
merembat kencang hantaran Rachid Zmama untuk mengikat kedudukan 1-1 pada minit
ke-52.
Mandjou yang juga ketua pasukan
Perak sekali lagi bertindak cemerlang apabila menjaringkan gol kedua pada minit
ke-84.
Negeri Sembilan merapatkan
kedudukan dengan dua pasukan teratas dengan 21 mata selepas menundukkan
Selangor 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Aidil Zaquan Adha Abd. Razak
membuka jaringan buat tuan rumah seawal minit keempat sebelum Cik Hisamuddin
Hassan menjaringkan gol kedua Negeri Sembilan pada minit keempat dan 41.
Selangor mendapat gol saguhati
pada penghujung aksi menerusi jaringan Mohd. Shukor Adan.
Ia juga kekalahan Selangor kali
ke-10 dalam Liga Super dan hanya meraih enam mata selepas 12 perlawanan.
Di Stadium Negeri Batu Kawan,
jaringan lewat Md. Saufi Ibrahim ketika perlawanan berbaki tiga minit
memberikan kemenangan 1-0 Pulau Pinang ke atas juara bertahan, Perlis.
Perlis bermain sepuluh orang
pada pertengahan aksi selepas pemain importnya, Safranko Jan dibuang padang
selepas menerima dua kad kuning.
Di Stadium Hang Jebat, Telekom
Melaka diikat 1-1 oleh Pahang.
Caswe Nfoswa membuka jaringan
buat tuan rumah pada minit ke-48 sebelum Josiah Seton menyamakan kedudukan
minit ke-63.
Sementara itu dalam aksi Liga
Perdana, Shahzan Muda menundukkan Melaka 4-2 dalam perlawanan Kumpulan B di
Stadium Darul Makmur di Kuantan.
Kuala Lumpur menang 1-0 ke atas
Johor FC, TNB Kelantan tumpas 1-0 kepada PKNS Selangor dan Polis seri 2-2
dengan Sabah.
Dalam perlawanan Kumpulan A,
Kelantan dan Sarawak seri tanpa jaringan dengan kedua-dua pasukan bermain
sepuluh orang.
UPB Perak seri 2-2 dengan
Brunei DPMMM manakala NTFA Pulau Pinang menang 1-0 ke atas Terengganu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0312&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4koLgw07P
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan