ARKIB : 06/09/2005
Oleh AMRAN MULUP
KUALA LUMPUR - Bayangan langkah
ke separuh akhir sudah menggamit Perlis, Kedah, Perak dan Selangor selepas
menepati ramalan memenangi saingan suku akhir Piala Malaysia, Sabtu lepas.
Antara empat pasukan itu,
Perlis dan Kedah dianggap paling lega dengan bekalan dua gol sebelum bertandang
ke gelanggang lawan untuk menghadapi saingan suku akhir kedua malam esok.
Perlis selesa dengan dua
jaringan menerusi Philimon Chepita dan Joao Bandoch untuk menewaskan Pahang 3-1
manakala Kedah dengan kelincahan pemain kebangsaan, Liew Kit Kong meledakkan
dua jaringan untuk membantu Kedah menjinakkan Terengganu 2-0.
Sementara Perak dan Selangor
yang berbekalkan satu gol belum dianggap selamat untuk merintis tempat ke
separuh akhir.
Perak sekadar menewaskan
Telekom 1-0 hasil jaringan Keita Mandjou manakala Selangor pula dengan dua
jaringan Brian Fuentes mengalahkan Pulau Pinang 2-1.
Namun, sudah menjadi tradisi
yang berteraskan pertarungan sengit dengan penuh debaran menjelang saingan suku
akhir kedua malam esok memungkinkan keputusan sebaliknya terjadi.
Buat Pahang tewas 1-3 di Kangar
Sabtu lepas sudah cukup menceritakan betapa laluan pasukan itu tampak sukar
untuk layak ke separuh akhir.
Bermain di Stadium Darul
Makmur, Pahang tidak mempunyai banyak pilihan terpaksa berkerja keras untuk
memadamkan kelebihan dua gol yang menjadi bekalan Perlis.
Tiada yang mustahil kerana
peluang Pahang masih ada dengan baki 90 minit untuk menafikan hajat besar
Perlis.
Begitu juga dengan kedudukan
Terengganu yang menghadapi laluan penuh ranjau apabila menanti kunjungan Kedah
di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Tewas 0-2 pada saingan pertama,
Terengganu perlu menggandakan usaha untuk memadamkan kelebihan dua jaringan
milik Kedah jika bercita-cita untuk mara ke separuh akhir.
Peluang bekas juara 29 kali
Piala Malaysia, Selangor untuk layak ke separuh akhir walaupun lega dengan
kemenangan 2-1 Sabtu lepas, tetapi kedudukan itu belum dianggap selamat.
Berdepan dengan Pulau Pinang di
tempat lawan memaksa anak didik jurulatih Dollah Salleh perlu mengadunkan
persembahan paling mantap apa lagi memperkukuhkan kekuatan di benteng
pertahanan.
Sudah kerap kali benteng
pertahanan Selangor goyah dan mudah ditembusi lawan.
Skuad Merah Kuning pastinya
pincang tanpa khidmat penjaga gol utama, Jamsari Sabian yang dilayangkan kad
merah Sabtu lepas.
Peluang ini pastinya akan
digunakan sepenuhnya oleh gandingan serangan Pulau Pinang, Viatcheslav Melnikov
dan Dudu yang bakal mendatangkan masalah kepada benteng Selangor.
Perak pula dengan kelebihan
satu jaringan mempunyai kelebihan bermain di gelanggang sendiri.
Skuad Seladang mempunyai rekod
bersih beraksi di gelanggang sendiri sepanjang pusingan awal Piala Malaysia.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0906&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iwiFLCL5
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan