ARKIB : 25/03/2007
TONGGAK Perak, Ahmad Fikri
Saarani (kanan) diraikan oleh rakan sepasukan selepas dia menjaringkan hatrik
ketika menentang Negeri Sembilan Naza dalam saingan bola sepak Liga Super di Stadium
Perak, Ipoh, malam tadi. Gambar HANAFI KHAMIS.
KUALA LUMPUR Perak terus
mengungguli persada teratas apabila bertindak garang membelasah Negeri Sembilan
5-1 pada perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Perak, semalam.
Pemain skuad Piala Presiden
Perak, Ahmad Fikri Saarani muncul hero apabila dia meledakkan jaringan hatrik
pada minit ketiga, 43 dan 58 bagu mengukuhkan kedudukan skuad Seladang di
tangga teratas liga.
Dua lagi gol menerusi Keita
Mandjou pada minit ke-68 dan pemain gantian, Wong Sai Kong pada minit ke-76
melengkapkan kemenangan bergaya Perak ke atas Negeri Sembilan Naza.
Kemenangan tersebut memastikan
Perak memungut 28 mata daripada 13 perlawanan manakala buat Negeri Sembilan,
ini adalah kekalahan ketujuh.
Gol sagu hati pelawat
dijaringkan oleh Mohd. Hafiz Syobri pada minit ke-85.
Di Stadium Darul Aman, Kedah
terus mengekori rapat Perak untuk berada di tangga kedua apabila jaringan
hatrik Marlon Alex James membantu mencatat kemenangan selesa 4-1 menewaskan
TMFC.
Marlon meledakkan jaringan
hatrik buat Kedah pada minit ke-27, 61 dan 74 bagi memastikan tuan rumah
mengutip tiga mata penuh untuk terikat 28 mata sama dengan Perak tetapi
dipisahkan oleh perbezaan jaringan gol.
Satu lagi gol Kedah dijaringkan
oleh Fazliata Taib pada minit ke-80 dan tiga minit selepas itu TMFC merapatkan
jurang dengan gol sagu hati jaringan Tengku Hasbullah Hassan.
Di Stadium Shah Alam, Selangor
sentuhan ayam tambatan Akmal Rizal Rakhli berterusan apabila jaringannya
membantu Selangor meraih tiga mata berharga apabila menewaskan Pahang 2-0.
Gol kedua peribadi Akmal Rizal
setakat ini dicipta menerusi sepakan kencangnya pada minit ke-63 selepas
mendapat hantaran menarik daripada Fazalidin Khalid.
Dalam masa kecederaan Akmal
Rizal sekali lagi bertindak cemerlang apabila meledakkan jaringan kedua
memastikan kemenangan selesa buat Selangor meraih tiga mata berharga.
Di Stadium Bandaraya, Pulau
Pinang gol tunggal jaringan Mohd. Farizal Rozali memastikan tuan rumah meraih
kemenangan apabila menewaskan Melaka 1-0.
Gol kemenangan tuan rumah Mohd.
Farizal selepas lapan minit babak bermula selepas dia menerima hantaran cantik
Zulhisham Jamaluddin yang ditanduk masuk oleh Mohd. Farizal.
Di Stadium Sultan Ismail
Nasiruddin, Terengganu memahatkan kemenangan paling selesa selepas membelasah
pasukan tercorot Sarawak 5-1.
Gol-gol Terengganu dihasilkan
oleh Mohd. Shahrul Izrain Samsuddin (m-22, m-44), Che Hishamuddin Hassan (m-25,
m84) dan Zairol Anuar (m-69).
Sementara gol tunggal Sarawak
dijaringkan oleh Robert Eshun pada minit ke-70.
Di Stadium Jcorp, tuan rumah
Johor FC sekadar terikat dengan keputusan 0-0 ketika berdepan Brunei DPMM.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0325&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tPyBWPZw
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan