Jumaat, 29 September 2017

Perak mudah jinakkan Selangor



ARKIB : 13/05/2007

KUALA LUMPUR - Perak terus memberi tekanan kepada pendahulu Kedah dengan mengutip tiga mata penuh menewaskan Selangor 2-0 pada perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Perak di Ipoh, semalam.

Selangor yang beraksi tanpa beberapa pemain utama yang dipanggil menjalani latihan dengan skuad kebangsaan hanya mampu bertahan hingga pada minit ke-32.

Hasil hantaran jauh Ahmad Shahrul Azhar di depan pintu gol Selangor berlaku pergelutan dan bola muntah mudah ditolak masuk oleh R. Surendren.

Kedudukan Perak semakin kukuh apabila Traore Abdolaye meledakkan sepakan jarak dekat menewaskan penjaga gol Megat Amir Faisal pada minit ke-64.

Kemenangan itu memastikan Perak masih kekal di tangga kedua liga mengutip 37 mata sekadar dipisahkan dengan dua mata di belakang Kedah dengan 38 pemain.

Di Stadium Sultan Hasanal Bolkiah, tuan rumah gagal mengutip tiga mata penuh apabila sekadar seri 1-1 berdepan Telekom Melaka (TMFC).

Shahrazain Said membuka jaringan pada minit ke-45 buat Brunei DPMM tetapi TMFC menyamakan kedudukan 1-1 jaringan Chaswe Nsofwa di minit 77.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu nyata unggul menewaskan Perlis 2-0.

Pertembungan sengit dua pasukan tersebut jelas mencuri perhatian dan buruan mencari gol hadir pada minit ke-57 milik Terengganu.

Che Hishamuddin Hassan meletakkan Terengganu di depan pada minit ke-57 dan Sharlei Miranda menguatkan cengkaman tuan rumah pada minit ke-62.

Di Stadium Jcorp, Johor FC berjaya menewaskan Pulau Pinang 2-0.

Walter Silva muncul hero buat Johor FC apabila meledakkan kedua-dua jaringan pada minit ke-19 dan 21.

Di Stadium Sarawak, tuan rumah memecah kemarau tanpa kemenangan dalam saingan Liga Super apabila menewaskan Pahang 3-0.

Gol pertama tuan rumah dijaringkan oleh Khairul Zal Azmi pada minit ke-15, diikuti oleh jaringan Romeo Kambou (m-62) dan gol ketiga jaringan Mohamad Sabri Amit (m-67).

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0513&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4u3y4gtnG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan