ARKIB : 13/03/2007
Perak, Kedah tersepit
Oleh AMRAN MULUP
PETALING JAYA – Pendahulu Liga
Super, Perak berdepan tugas paling getir berdepan bekas juara 1996, Kedah dalam
saingan Piala FA pusingan kedua kalah mati pada 27 Mac ini.
Dalam undian yang diadakan di
Wisma FAM semalam, tiada yang dapat menyangkal pertemuan Kedah dengan juara
pertama Piala FA, Perak di Stadium Darul Aman adalah perlawanan mencuri tumpuan
berbanding tujuh perlawanan lain.
Sambil reputasi Perak kembali
ke persada utama Liga Super dengan Kedah berada di tangga ketiga pertemuan
kedua-dua pasukan itu dijangka sengit dan mendebarkan.
Ketika Kedah terpaksa berdepan
Perak, pasukan negeri lain sedikit menarik nafas lega berdepan lawan daripada
pasukan berstatus kelab.
Jurulatih Kedah, Mohd. Azraai
Khor Abdullah tidak menafikan tugas paling berat buat pasukannya apa lagi
berdepan jadual paling ketat.
‘‘Kami sudah jumpa Perak banyak
kali dalam Liga Super dan Piala Malaysia, memang laluan sukar buat Kedah
walaupun bermain di tempat sendiri.
‘‘Lebih lagi Perak kini berada
di kemuncak permainan dan buat Kedah, kami akan memberikan tentangan sengit,’’
ujarnya ketika dihubungi, semalam.
Beliau menyifatkan Perak
memiliki segala kelebihan dengan barisan pemain yang jauh lebih berpengalaman.
Penyandang juara, Pahang mampu
menarik nafas lega apabila diundi selaku tuan rumah berdepan PKNS di Stadium
Darul Makmur dan berpeluang cerah untuk mara ke suku akhir.
Namun, naib juara tahun lalu,
Perlis berdepan tugas berat bertandang ke tempat lawan berdepan Telekom Melaka.
Juara 2005, Selangor turut
merintis laluan paling mudah apabila diundi berdepan ATM di tempat lawan.
Atas kertas sudah pasti
kelebihan milik Selangor yang diramal tidak berdepan tugas sukar untuk
menewaskan ATM dan mara ke suku akhir.
Buat jurulatih Selangor, Dollah
Salleh tidak menganggap laluan paling mudah biarpun ATM bukanlah lawan yang
dianggap setanding dengan pasukan negeri.
‘‘Saya tetap hormat ATM dan
mereka mampu melakukan kejutan jika pemain leka.
‘‘Dengan reputasi tidak menentu
Selangor terutama ketumpulan jentera serangan mungkin mereka boleh menjadi
penghalang,’’ ujarnya.
Buat Dollah pertemuan dengan
ATM, beliau tidak mahu pemain mengambil sikap sambil lewa yang mungkin membawa
padah.
Sementara itu, Negeri Sembilan
Naza turut berdepan laluan getir berdepan UPB/MyTeam di tempat lawan.
Dalam perlawanan lain
menyaksikan Johor Pasir Gudang menjadi tuan rumah kepada Kelantan, Johor FC
pula berdepan Sabah dan Shahzan Muda pula bertemu Kuala Muda Naza.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0313&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4tODhMZKC
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan