Ahad, 30 April 2017

Saravanan ikut jejak Khalid

ARKIB : 12/11/2004
PERAK bakal bernafas dalam lumpur menghadapi kempen musim depan selepas penyerangnya, Mohd. Khalid Jamlus berhijrah ke Selangor, seorang lagi bintang lincahnya V. Saravanan turut mengikut jejak mewakili skuad Merah Kuning musim depan.
Skuad Seladang tidak menjangka Saravanan akan meninggalkan juara Piala FA itu ketika penyerang tinggi lampai Khalid hangat diperkatakan menyarung jersi Selangor.
Segala-galanya berlaku terlalu pantas ketika Khalid menemui Pengurus Perak, Datuk Jamal Nasir Rasdi petang kelmarin untuk mendapat pelepasan menyertai Selangor, pengurus itu tersentak apabila Saravanan turut melahirkan hasrat untuk meninggalkan skuad Seladang.
Jamal yang tergamam seketika dengan pendirian dua anak buahnya itu akhirnya akur untuk memberi pelepasan kepada Khalid dan Saravanan mewakili Selangor selepas tamat kontrak mereka pada 31 Disember ini.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor, Hamidin Mohd. Amin ketika dihubungi semalam. Beliau memberitahu Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), telah memberi lampu `hijau' untuk melepaskan bukan sahaja Khalid tetapi juga penyerang kebangsaan, Saravanan.
``Saya sudah menghubungi Jamal Nasir dan beliau telah memberikan jaminan bahawa PAFA akan mengeluarkan surat pelepasan bukan sahaja kepada kepada Khalid tetapi juga kepada Saravanan untuk mewakili Selangor,'' katanya.
Hamidin berkata, persetujuan yang diberikan oleh Perak sekali gus menamatkan perang dingin antara FAS dan PAFA berhubung hasrat Khalid untuk menyertai skuad Merah Kuning ketika kontraknya hanya akan berakhir hujung tahun ini.
``Saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Jamal Nasir kerana akhirnya memberi pelepasan bukan sahaja kepada Khalid tetapi juga kepada Saravanan,'' katanya.
Sambil itu kata Hamidin lagi, FAS dan PAFA akan mengadakan rundingan mengenai pampasan ke atas kedua-dua pemain kebangsaan itu.
Mengulas mengenai kedatangan Saravanan beliau berkata, ia sesuatu yang mengejutkan dan tidak dijangka.
``Dalam tempoh yang singkat Saravanan ada menelefon saya memberitahu bahawa dia turut berminat untuk ke Selangor.
``Bagi Selangor, sememangnya kita mengalu-alukan kedatangan Saravanan termasuk juga Khalid,'' tambahnya.
Hamidin menyifatkan kehadiran Saravanan dan Khalid akan memperkukuhkan jentera serangan Selangor musim depan untuk bergandingan dengan penyerang berbahaya Indonesia, Bambang Pamungkas dan pemain Argentina, Brian Fuentes yang dikekalkan khidmatnya untuk semusim lagi.

Sabtu, 29 April 2017

Yeop hebat, julang piala FA

ARKIB : 11/10/2004
RAJA Muda Perak, Raja Nazrin Shah turut bersama-sama pemain dan pegawai di atas pentas hadiah untuk meraikan kejayaan pasukan Perak memenangi Piala FA setelah menewaskan Terengganu dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi. Perak menang 3-0.


PERAK 3
Luciano Goux (104)
Khalid Jamlus (106, 110)

TERENGGANU 0
Oleh AMRAN MULUP
PERAK terpaksa menanti sehingga ke masa tambahan sebelum dinobatkan selaku juara Piala FA edisi ke-15 buat kali kedua selepas menewaskan juara tahun 2000, Terengganu 3-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
Kemenangan paling manis buat Perak sebelum dinobatkan sebagai juara buat kali kedua selepas melakukannya pada 1990 terpaksa berhempas pulas hingga mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Pemain pertahanan dari Argentina, Luciano Goux membuka jaringan pada minit ke-104, disusuli dengan dua jaringan melalui Khalid Jamlus pada minit ke-106 dan 110 menafikan hajat besar Terengganu untuk muncul juara.
Di hadapan kira-kira 60,000 penyokong, Perak yang pada mulanya tenggelam pada babak awal mempamerkan aksi menarik pada masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam saingan 90 minit.
Aksi bermula dengan asakan seawal minit pertama namun percubaan Norhisyam Hassan di depan kotak penalti ditolak keluar pertahanan Perak.
Keadaan bertambah rancak dengan aksi menarik skuad Penyu apabila Dos Santos pula melepaskan rembatan kencang pada minit kelima tetapi tidak menepati sasaran.
Perak jelas tenggelam seketika dengan asakan bertali arus Terengganu apabila Md. Shahrul Ezrain dan Santos melepaskan rembatan yang tidak menepati sasaran.
Skuad Kejor Yeop Kejor jelas tenggelam dengan gerakan agresif lawan namun peluang untuk mencipta jaringan hampir menjadi milik mereka dalam keadaan kelam kabut di pintu gol lawan, sepakan Ricardo Silva terus ke dakapan penjaga gol, Syamsuri Mustafa pada minit ke-31.
Enam minit selepas itu bekas pemain kebangsaan, Khalid hampir membuka tirai jaringan awal buat Perak namun sepakan kencangnya turut tersasar keluar.
Melihat Perak tertekan dengan asakan bertali arus, jurulatih Toni Netto membawa masuk pemain kebangsaan, Ahmad Shahrul Azhar pada minit ke-41 bagi memperkemaskan bahagian tengah yang terumbang-ambing.
Pada minit ke-50 Perak hampir memecah kebuntuan tetapi sepakan percuma yang diambil oleh Ricardo Silva ditolak keluar oleh Syamsuri.
Terengganu nyaris mendapat gol pendahuluan apabila sepakan deras Zairo Anuar Zalani dari jarak 25 meter gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Perak, Mohd. Hamsani Ahmad tetapi sepakan susulan Dos Santos pula tersasar jauh pada minit ke-81.
Kebuntuan jaringan gol akhirnya memihak kepada Perak apabila Goux menolak masuk gol pertama pada minit ke-104.
Dua minit selepas itu Perak tambah selesa dengan jaringan kedua menerusi penyerang utamanya, Khalid yang menyambut bola muntah gagal ditangkap kemas penjaga gol Terengganu untuk terus merembat meng gegar jaring.
Khalid sekali lagi bertindak cemerlang untuk meledakkan jaringan kedua Perak pada minit ke-110 sekali gus menutup peluang Terengganu.

Perak kekalkan corak pantas - Netto

ARKIB : 09/10/2004
JURULATIH, Toni Netto mahu para pemain Perak sentiasa cergas bagi mengekang setiap pergerakan pihak lawan dalam perlawanan akhir bola sepak Piala FA menentang Terengganu di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.
Katanya, kecergasan yang tinggi amat diperlukan agar para pemain dapat bergerak dengan tangkas bagi menyekat serangan dan mampu menyerang balas dengan pantas.
Jurulatih dari Brazil itu dijangka mengekalkan corak permainan pantas yang sudah menjadi darah daging pemain-pemain Perak sejak tahun 1990-an lagi.
``Saya memerlukan pergerakan pantas bagi menrealisasikan strategi yang disusun agar permainan Perak lebih berkesan dan mantap,'' kata Netto ketika ditemui di Ipoh, semalam.
Bagi menjamin kecergasan stamina, Netto membawa para pemain skuad Seladang menjalani latihan fizikal di sebuah gimnasium berhampiran Stadium Perak, Ipoh, semalam.
Para pemain telah menjalani latihan tersebut selama dua jam di gimnasium itu dalam usaha meningkatkan lagi tahap kecergasan mereka.
Selain itu, Netto dijangka menggunakan khidmat beberapa pemain muda seperti ketua pasukan bawah 20 tahun kebangsaan, Ahmad Azlan Zainal, Harizul Izuan Abd. Rani dan K. Yoganathan untuk mengekalkan permainan pantas skuad Seladang.
Netto mengakui beberapa pemain muda telah matang dalam permainan masing-masing dan mampu menghadapi perlawanan berprestasi tinggi seperti perlawanan akhir Piala FA tersebut.
Ketua pasukan bawah 20 tahun kebangsaan yang telah mempamerkan persembahan mantap di barisan pertahanan bersama-sama Syamsol Saad, Luciano Goux dan Asmawi Bakiri akan diturunkan Ahad ini.
Harizul yang bergerak pantas di bahagian tengah juga mendapat perhatian Netto bagi digandingkan dengan Richardo Silva dan pemain kebangsaan, K. Nanthakumar
Perak meletakkan harapan yang tinggi bagi membawa pulang Piala FA ini setelah terlepas sebarang kejuaraan apabila tersungkur dalam persaingan Liga Super, Piala Malaysia dan Piala AFC.
Para penyokong Kejor Yeop Kejor turut mengharapkan piala itu kembali semula ke Ipoh setelah menunggu selama 14 tahun.
Perak merupakan juara pertama piala tersebut yang dimenanginya pada tahun 1990.

Jumaat, 28 April 2017

Perak kembali hidupkan peluang ke suku akhir

ARKIB : 26/09/2004
FINALIS Piala FA, Perak menghidupkan sisa peluang untuk mara ke suku akhir saingan bola sepak Piala Malaysia selepas mencatat kemenangan bergaya 2-0 ke atas Pulau Pinang dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium TLDM, Lumut malam tadi.
Bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus meletakkan Perak di hadapan dengan jaringan pada minit ke-10 berikutan salah faham pemain pertahanan lawan di depan pintu gol dengan satu tendangan lambung menewaskan penjaga gol Pulau Pinang, Ramzi Razuan.
Jaringan itu bertahan sehingga berakhir babak pertama.
Syamsol Saad menambah gol kedua Perak menerusi tendangan bebas pada minit ke-74.
Perak yang terdesak untuk menghidupkan peluang ke suku akhir dengan mengharapkan kemenangan, hanya mengharapkan Khalid di barisan depan dengan dua lagi tonggak utama, V. Saravanan dan Frank Seator tidak diturunkan.
Perak masih perlu menumpaskan penyandang juara, MPPJ dalam perlawanan terakhir di Lumut, Rabu ini.



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Misi hidup mati Perak

ARKIB : 25/09/2004
PERTEMUAN menentang Pulau Pinang di Stadium Lumut dalam saingan Kumpulan B malam ini menjadi satu misi yang dianggap sebagai `hidup atau mati' buat skuad bola sepak Perak untuk meneruskan perjuangan ke suku akhir Piala Malaysia.
Kalah bermakna jurulatih, Toni Netto dan para pemainnya boleh melupakan hasrat untuk menjulang Piala Malaysia sebaliknya mereka boleh menumpukan perhatian menghadapi perlawanan akhir Piala FA pada 10 Oktober ini.
Begitupun sisa-sisa perjuangan mereka belum menemui titik noktah jika mencapai kemenangan malam ini.
Kemenangan itu akan menghidupkan kembali peluang Perak untuk mengisi salah satu tempat ke suku akhir mengiringi Pulau Pinang yang telah pun layak lebih awal.
Dalam perlawanan terakhir Rabu depan, skuad Kejor Yeop Kejor itu akan berdepan dengan MPPJ.
Manakala saingan terdekat Perak dalam kumpulan B, Negeri Sembilan yang kini menduduki tangga kedua dengan tujuh mata pula berdepan dengan Pulau Pinang dalam perlawanan terakhir.
Jika Negeri Sembilan menang, mereka secara automatik layak ke suku akhir dengan memungut 10 mata sedangkan jika Perak menang baki dua perlawanan mereka sekadar memiliki 9 mata.
Apa pun nasib skuad Perak ibarat `Yo Yo', seperti juga prestasi semasa mereka yang terumbang-ambing.
Selepas Perak tersingkir di suku akhir Piala AFC kepada Geylang United baru-baru ini, pastinya anak buah Toni Netto tidak rela mendung yang menyelubungi pasukannya berterusan.
Buat Pulau Pinang pula tidak tertekan berdepan dengan Perak di gelanggang lawan memandangkan mereka menjadi pasukan pertama layak ke suku akhir dengan 12 mata penuh hasil empat kemenangan berturut-turut.
Ketumpulan jentera serangan Perak dengan kelibat V. Saravanan dan Khalid Jamlus yang tidak bermaya ketika di depan pintu gol, jelas membawa petaka.
Manakala ayam tambatan mereka, Frank Seator kurang menyengat kerana masih dibelenggu kecederaan sekali gus merumuskan nasib malang skuad Yeop ini.
Setakat ini empat pasukan sudah pun melayakkan diri ke suku akhir, selain Pulau Pinang ialah juara liga Super, Pahang, Kedah dan Sabah.
Manakala empat lagi tempat menjadi buruan dalam aksi terakhir yang akan diketahui Rabu depan.



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Perak mahu ulangi kejayaan 1990

ARKIB : 15/09/2004
PERAK meletak harapan yang tinggi untuk menjulang Piala FA buat kali kedua selepas melakukannya pada tahun 1990.
Justeru, pertemuan dengan Terengganu pada perlawanan akhir nanti ibarat menamatkan penantian selama 14 tahun lalu.
Jurulatih, Toni Netto berkata, skuad Seladang akan meletakkan tumpuan penuh untuk memenangi perlawanan itu walaupun pada masa yang sama, mereka masih mengharungi kempen Piala Malaysia dan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Perak melangkah ke perlawanan akhir Piala FA setelah menundukkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan agregat 3-0, mendahului keputusan perlawanan separuh akhir pertama 1-0 dan melengkapkan kemenangan kedua 2-0.
Sebelum ini, Netto melahirkan rasa terkilan apabila skuad bimbingannya gagal membawa pulang Piala Liga Super setelah kemenangan berpihak kepada Pahang.
Ekoran daripada kegagalan itu, jurulatih dari Brazil itu dikritik hebat oleh para penyokong Kejor Yeop Kejor dengan melemparkan kata-kata yang kurang enak semasa perlawanan Piala Malaysia, baru-baru ini.
Kini, Netto memperoleh peluang terbaik bagi menangkis segala kritikan jika dia mampu membantu Perak membawa pulang semula Piala FA.
Perak muncul sebagai juara pertama Piala FA pada tahun 1990 dan selepas itu hanya mampu dua kali layak ke perlawanan akhir pada tahun 1991 dan 2001 tetapi gagal menjulang piala berkenaan.
Menyentuh pertemuan dengan PKNS, Netto jelas berpuas hati dengan persembahan para pemain yang menunjukkan persembahan mantap walaupun tanpa lima tonggak utamanya.
Kelima-lima pemain tersebut, K. Nantha Kumar, Richardo Adrian, Liew Kit Kong, Frank Seator dan Luciano Goux tidak diturunkan kerana dibelenggu kecederaan dan masih menjalani hukuman digantung permainan.
``Walaupun tanpa tonggak utama, Perak beraksi bukan untuk mencatat keputusan seri sebaliknya skuad Seladang tetap mencari kemenangan mutlak,'' kata Netto di Ipoh, semalam.
Pemain-pemain muda seperti Shahrulnizam Mustapa, K. Yoganatha, S. Sathia Kumaran, R. Surendren dan Ahmad Azlan Zainal telah diturunkan bagi mengisi kekosongan tersebut.
Malah, Netto ternyata berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh pemain-pemain muda tersebut dalam menghadapi perlawanan yang berprestasi tinggi.
Gol kedua dalam perlawanan dengan PKNS malam kelmarin dijaringkan oleh pemain import yang baru, Keita Mandjou yang dijangka memainkan peranan untuk menjana serangan bahagian tengah kelak.
Netto berharap Mandjou tidak hanya mempamerkan persembahan baik dalam perlawanan pertama tetapi juga pada perlawanan akhir nanti sekiranya dia turunkan semula.



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Perak, Terengganu tentukan juara

ARKIB : 12/09/2004
PEMAIN Perak, Asmawi Bakiri diapit oleh dua pemain PKNS sewaktu perlawanan separuh akhir kedua bola sepak Piala FA di Stadium MPS, Selayang semalam. Perak menang 2-0 dan layak ke perlawanan akhir menerusi agregat 3-0. - Gambar NAZUDEEN MAHMUD.


PERAK menghampiri kejuaraan Piala FA kedua apabila menumpaskan PKNS Selangor 2-0 dalam perlawanan separuh akhir kedua di Stadium MPS, Selayang semalam.
Bekas ketua pasukan kebangsaan, Ahmad Shahrul Azhar Suffian dan Keita Manjou menjaringkan gol masing-masing pada minit ke-84 dan 91 untuk membolehkan Perak melangkah ke akhir dengan kemenangan agregat 3-0.
Perak bermain tanpa penyerang dari Liberia, Frank Seator yang masih cedera dan pertahanan dari Argentina, Luciano Goux yang digantung perlawanan setelah mengutip kad merah ketika bertemu MPPJ Selangor dalam kempen Piala Malaysia, minggu lepas. Goux merupakan penjaring ketika Perak menang 1-0 di Ipoh sepuluh hari lepas.
Begitupun Perak gagal mencipta banyak peluang. Satu-satunya yang mereka peroleh pada babak pertama dipersiakan oleh Khalid Jamlus pada minit ke-37 apabila dia gagal menyambar kemas bola hantaran lintang pemain tengah, Mandjou.
Kedua-dua pasukan memperkukuhkan bahagian serangan pada babak kedua dengan Perak memasukkan V. Saravanan, yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring bagi menggantikan Chan Wing Hoong manakala PKNS memasukkan Rusdi Suparman menggantikan Khairul Anhar Taam.
Selepas beberapa kali menyaksikan rakan-rakannya di bahagian depan gagal menyempurnakan peluang, Ahmad Shahrul mencuba dari jarak 25 meter yang menewaskan penjaga gol PKNS, Mohd. Azrul Pie pada minit ke-84.
Ketika penyokong-penyokong Perak yang menguasai sebahagian besar tempat duduk di Stadium MPS merasakan sudah berpuas hati dengan agregat 2-0, Mandjou melepaskan rembatan kencang dari jarak 20 meter pada masa kecederaan untuk gol kedua.
Dengan kemenangan ini, Perak akan bertemu Terengganu pada perlawanan yang dijadual berlangsung pada 25 September ini.
WALAUPUN mencatat kemenangan 2-1 namun amukan dan impian Pahang untuk muncul juara berganda tahun ini musnah apabila mereka tumpas dengan agregat 3-2 kepada Terengganu pada separuh akhir kedua bola sepak Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam.
Beraksi dengan corak permainan pantas dengan mengatur serangan demi serangan sejak awal babak permainan, kesungguhan Pahang selaku juara Liga Super dikecewakan oleh ketangkasan penjaga gol Terengganu, Md. Syamsuri Mustaffa bersama rakan-rakannya di barisan pertahanan.
Permainan agak hambar pada separuh pertama walaupun hampir 25,000 penonton memenuhi stadium.
Namun berubah menjadi rancak sejurus jaringan awal Pahang menerusi sentuhan Mohd. Fadzli Saari pada minit kelima separuh kedua.
Jaringan itu umpama sinar buat Pahang namun keseronokan penyokong mereka hanya bertahan seketika. Kealpaan pemain Pahang pantas dihukum oleh pemain import Terengganu Dos Santos dari Brazil, hanya seminit selepas jaringan itu.
Barisan pemain Pahang yang masih bergembira dengan jaringan Fadzli tersentak dan mula kehilangan punca selepas itu.
Jaringan itu nyata menyentap semangat pasukan bimbingan Zainal Abidin Hassan yang mengimpikan kemenangan setelah tumpas 2-0 pada pertemuan pertama di Terengganu pada 1 September lalu.
Jaringan gol kemenangan pada masa kecederaan separuh kedua oleh pemain Pahang, Mamdou Diallo bagaimanapun tidak mampu mengubat luka pasukan Tok Gajah

Perak hilang lima pemain utama

ARKIB : 04/09/2004
PERAK menerima tamparan hebat apabila lima pemain utamanya terpaksa direhatkan dalam pertemuan dengan juara bertahan, Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) dalam perlawanan bola sepak Piala Malaysia di Stadium MPPJ, Petaling malam ini.
Lima pemain utama skuad Seladang yang terpaksa menjadi penonton adalah Richardo Silva, Liew Kit Kong, Mohd Hamsani Ahmad, K. Nantha Kumar dan Asmawi Bakiri.
Skuad Seladang yang amat mengharapkan mata penuh selepas kekalahan 1-2 kepada Pulau Pinang, Ahad lalu berdepan dengan masalah benteng pertahanan yang rapuh apabila dua pertahanan utamanya, Nantha Kumar dan Asmawi serta penjaga gol utama, Mohd Hamsani masih mengalami kecederaan.
Jurulatih, Toni Netto pening kepala memikirkan cara yang terbaik bagi memperkemaskan benteng pertahanan dan pintu golnya dengan ketiadaan ketiga-tiga pemain utama tersebut.
Netto memberitahu semalam, beliau tidak mempunyai pilihan lain dengan menurunkan pemain-pemain muda bagi mengisi kekosongan tersebut agar dapat mengekang kemaraan pemain-pemain bimbingan buah Dolah Salleh itu.
``Saya harap pemain-pemain muda yang akan diberi peluang nanti menggunakan kesempatan ini dengan sebaiknya.
Inilah masanya untuk mereka merebut tempat semasa ketiadaan pemain-pemain utama dalam pasukan ini,'' katanya.
Selain itu, Netto juga berdepan masalah kecederaan dua pemain tengahnya, Richardo dan Kit Kong yang boleh mencacatkan serangan skuad Seladang.
Selain itu, dia juga gusar dengan kemerosotan prestasi penyerang utama, Frank Seator sejak akhir-akhir ini kerana Perak benar-benar mengharapkan jaringan yang banyak supaya tidak menimbulkan masalah pada masa akan datang.
``Saya tidak tahu apa yang menyebabkan dia kurang menyengat, tetapi ia adalah situasi biasa yang dialami oleh penyerang.
Saya harap ia tidak berterusan dan dia (Seator) perlu menunjukkan sentuhan berbisanya semula,'' tambahnya.
Walaupun kehilangan beberapa pemain utama tetapi Netto berjanji pasukan bimbingannya akan berusaha untuk membawa pulang tiga mata penuh kerana laluan ke suku akhir semakin berliku.
Dalam masa yang sama, dia berharap para pemainnya sudah mendapat rentak selepas berdepan jadual perlawanan ketat termasuk berdepan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam separuh akhir pertama Piala FA Rabu lalu.
Dalam perlawanan itu, skuad Seladang memperoleh bekalan tipis 1-0 hasil jaringan Luciano Goux.
Jurulatih dari Brazil itu juga tidak memandang mudah ancaman yang boleh dicipta oleh lawan mereka MPPj yang juga juara bertahan Piala Malaysia.
Ini kerana skuad bimbingan Dollah Salleh itu begitu terdesak untuk memungut mata pertama bagi menghidupkan semula peluang mereka untuk ke suku akhir sekali gus mempertahankan piala tersebut.Selepas dua perlawanan Perak mengutip tiga mata untuk berada di tempat kedua Kumpulan B, manakala MPPJ di tangga tercorot.

Selasa, 25 April 2017

Perak perlu menang

ARKIB : 06/08/2004
MAHU atau tidak, Perak perlu memastikan kemenangan menjadi miliknya sekiranya mahu dinobatkan naib juara bola sepak Liga Super menentang Public Bank, Sabtu ini, lapor Kamaruddin Ismail.
Malah, jentera serangannya juga perlu mempamerkan komitmen yang lebih kental dengan melakukan gerakan penyudah yang mampu mengatasi ledakan pihak lawan.
Skuad Seladang yang gagal menyaingi Pahang dalam perebutan kejuaraan liga itu bergantung sepenuhnya kepada sentuhan berbisa penyerang Liberia, Frank Seator.
Seator yang ditemui semalam, meminta rakan sepasukannya turut membantu menjaringkan gol dan tidak terlalu berharap kepadanya menembusi pintu gol lawan.
``Kadang-kadang saya juga melakukan kesilapan sehingga gagal menjaringkan gol dan sekali gus mengecewakan pasukan serta para penyokong,'' katanya di Ipoh.
Penyerang lincah itu terkilan apabila dipersalahkan oleh penyokong Seladang apabila Perak sekadar seri dengan Sabah.
Kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam perlawanan itu yang mana Seator menjaringkan kesemua gol skuad Seladang.
Bagaimanapun, dia yang memperoleh peluang terbaik di depan gawang lawan gagal menyempurnakannya menyebabkan penyokong Seladang tidak berpuas hati.
``Saya sudah melakukan yang terbaik bagi skuad Seladang,'' jelas Seator yang sentiasa mahukan Perak mengutip mata penuh dalam setiap perlawanan sebelum ini.
Seator telah menjaringkan 14 gol, kini bersaing sengit dengan penyerang Pahang, Indera Putra Mahayuddin dalam perebutan Kasut Emas selaku penjaring terbanyak.
Indera Putra yang menjaringkan 15 gol merupakan bekas penyerang skuad Seladang dan bersama Pahang menjuarai Liga Super musim ini.
Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Jamal Nasir Rasdi mengakui Perak kekurangan penyerang berbisa bagi memastikan gerakan penyudah yang mampu menghasilkan gol.
Namun, beliau percaya barisan serangan yang sedia ada masih mantap bagi menghadapi perlawanan akan datang termasuk Piala FA dan Piala Malaysia kelak.
Pengurus pasukan itu tidak menolak kemungkinan mengambil penyerang import bagi meningkatkan lagi jentera serangan Perak kelak



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Isnin, 24 April 2017

Perak, Pahang jadi tumpuan Bicskei

ARKIB : 05/07/2004
PERTEMUAN sengit dan menarik antara pendahulu Liga Super, Pahang dan Perak di Ipoh kelmarin menjadi perhatian pertama jurulatih kebangsaan, Bertalan Bicskei dalam usaha membentuk skuad kebangsaan, lapor Kamaruddin Ismail.
Bicskei, 60, memuji kedua-dua pasukan yang mempamerkan permainan menarik dan mendebarkan apabila saling bekerja keras mencari gol kemenangan.
Dalam perlawanan itu, Perak menang 3-2 sekali gus memusnahkan rekod tanpa kalah Pahang.
Pertahanan Pahang, Jonathan Bass menghadiahkan `gol kemenangan' kepada Perak apabila tindakannya yang cuba menyelamatkan percubaan penyerang skuad Seladang, Frank Seator masuk ke gawang sendiri pada minit ke-90.
Sebelum itu, Perak memperoleh dua gol melalui Seator pada minit ke-34 dan 84.
Gol pertama di peroleh menerusi sepakan penalti setelah pertahanan Pahang, Rosdi Talib menampan bola dengan tangan di atas garisan gol.
Akibat tindakan itu, Pahang terpaksa bermain dengan 10 orang setelah pengadil, Subkhiddin Mohd. Salleh melayangkan kad merah kepada Rosdi.
Gol Pahang dijaringkan oleh penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar pada minit ke-10 dan Fadzli Shaari minit ke-64.
``Ini merupakan langkah pertama untuk mengenali corak permainan para pemain negara ini sebelum memilih mereka dalam skuad kebangsaan kelak,'' kata jurulatih berbangsa Hungary itu ketika ditemui di Ipoh semalam.
Namun begitu, beliau enggan menyatakan pemain-pemain yang memikat hatinya dengan berkata: ``Masih terlalu awal untuk menyatakan penilaian sebenar saya ke atas mereka.
``Berilah saya peluang untuk melihat lebih banyak perlawanan sebelum membuat sebarang keputusan,'' jelas Bicskei yang akan menggantikan Allan Harris.

Isnin, 17 April 2017

Perak sekadar seri

ARKIB : 07/04/2004
PERAK dan Home United dari Singapura seri 2-2 dalam perlawanan Kumpulan D Piala AFC di Stadium Perak, semalam.
Gol-gol Perak dihasilkan oleh penyerang Khalid Jamlus pada minit ke-56 dan Frank Seator pada minit ke-77.
Perak kini menduduki tangga kedua di belakang Home United yang memiliki kelebihan jumlah gol. Kedua-dua pasukan mengumpul tujuh mata selepas tiga kali bermain.
Pasukan pelawat mendapat jaringan menerusi Egmar Goncalves pada minit kedua dan Sutee Suksomkit pada minit ke-18th.
Sementara itu di Tokyo, penyerang dari Brazil, Rodrigo Gral menyumbat gol kemenangan Jubilo Iwata pada minit ke-81 untuk membantu pasukannya menewaskan Shanghai Shenhua 2-1 dalam saingan Liga Juara-Juara Asia.
Gral membuat jaringan bermakna buat pasukannya selepas mendapat hantaran cantik hasil gerakan kemas rakannya, Toshiya Fujita dan Takashi Fukunishi.
Kelab berkenaan mengumpul sembilan mata dalam Kumpulan E manakala Shenhua yang dilatih oleh bekas pengurus Leeds United Howard Wilkinson mengalami tiga kekalahan berturut-turut.
Jubilo ketinggalan apabila Zhang Yuning menyumbat gol seawal minit kelapan di Stadium Yamaha tetapi pemain berusia 19 tahun Sho Naruoka menyamakan kedudukan sebelum tamat babak pertama.
Kemenangan tersebut menyaksikan Jubilo menjadi skuad pilihan untuk mara ke suku akhir.
Kedua-dua pasukan akan beraksi semula di Shanghai pada 22 April ini

Sabtu, 8 April 2017

Perak naib juara di Hanoi



ARKIB : 11/11/2003

PENGURUS pasukan, Datuk Jamal Nasir Rasdi berpuas hati dengan persembahan para pemain Perak yang terpaksa mengharungi pelbagai rintangan sebelum muncul naib juara Kejohanan Bola Sepak Jemputan Antarabangsa Vietnam di Hanoi, kelmarin, lapor KAMARUDDIN ISMAIL.

Katanya, mereka terpaksa beraksi dalam cuaca yang panas pada bulan Ramadan ini sekali gus kelincahan para pemain tersebut begitu terbatas.

Selain itu katanya, penggantungan dan kecederaan beberapa orang pemain turut menjejaskan strategi yang disusun oleh jurulatih Toni Netto.

Perak muncul naib juara kejohanan ini dengan meraih hadiah wang tunai sebanyak RM26,600 apabila ditumpaskan oleh kelab Song Lan Nge An (SLNA) dari Vietnam 1-2 dalam perlawanan akhir kelmarin.

Kedua-dua pasukan pernah bertemu dalam perlawanan peringkat kumpulan yang mana SLNA mencatat kemenangan 4-2 ke atas Perak pada 3 November lalu.

Sebelum itu, Perak melakukan kejutaan apabila menumpaskan pasukan kebangsaan Veitnam bawah 23 tahun 4-2 melalui tendangan penalti 4-2 pada peringkat separuh akhir.

``Pemain-pemain muda seperti Harizul Izuan Abdul Rani, R. Suriendran dan Sharulnizam Mustafa yang diserapkan ke dalam skuad utama Perak musim depan mempamerkan persembahan menarik di sini,'' kata Jamal Nasir.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4dfBTCrG7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Perak senarai barisan terbaik



 ARKIB : 31/10/2003

Perak menyenaraikan lapan pemain utamanya yang diketuai oleh Ahmad Shahrul Azhar untuk Kejohanan Bola Sepak Jemputan Antarabangsa Vietnam di Hanoi mulai 1 November ini.

Pemain-pemain lain yang turut disenaraikan ialah Hamsani Ahmad, Syamsol Saad, Frank Seator, Chan Wing Hoong, Faizal Zainal, V. Saravanan dan Chan Kok Heng.

Jurulatih, Toni Netto beranggapan pemain-pemain itu adalah nadi utama Perak yang akan menggegarkan kubu lawan seperti mana dilakukan dalam Kejohanan Kelab-kelab ASEAN di Jakarta September lalu.

Perak yang menjuarai Liga Perdana Satu dua tahun berturut-turut diletakkan bersama kelab FLNA dan Nhan Hang Dong dari Veitnam.

Skuad Seladang akan menentang FLNA pada Isnin ini dan selepas itu menentang Nhan Hang Dong pada 5 November.

Dalam satu lagi kumpulan skuad Olimpik Veitnam akan bersaing dengan Persik FC dari Indonesia dan Cong FC.

Pemain-pemain muda seperti Harizul Izuan Abd Rani, M. Ravinthiran, Mohd. Khairul Naib dan Sharul Nizam Mustafa yang diserapkan ke dalam skuad utama Perak musim depan turut dibawa ke Hanoi bagi menimba pengalaman.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1031&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4deKvLoGQ
© Utusan Melayu (M) BhdARKIB : 30/10/2003