Jumaat, 31 Mac 2017

Perak kembali kuasai liga



ARKIB : 11/06/2003
Pemain Pahang, Rosdi Talib (kanan) cuba dihalang oleh pemain Terengganu, Faziallah Mamat sewaktu perlawanan bola sepak Perdana Satu di Stadium Darul Makmur Kuantan, semalam. Pahang menang 2-1. - Gambar MD. SHAHJEHAN MAAMIN.

JUARA bertahan, Perak kembali menguasai carta teratas bola sepak Liga Perdana Satu selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kelantan di Stadium Perak, Ipoh, semalam.

Kejayaan Seladang ke tangga teratas dibantu dengan kekalahan pendahulu sebelumnya, Kedah yang tewas besar 4-1 kepada Selangor di Shah Alam.

Kemenangan Perak semalam adalah yang pertama pada pusingan kedua selepas mencatat seri tiga kali berturut-turut.

Gol kemenangan Perak dijaringkan oleh Yusri Che Lah yang menanduk masuk bola hantaran Ahmad Shahrul Azhar minit ke-19.

Perak sepatutnya menang selesa 3-0 apabila mendapat dua sepakan penalti tetapi gagal disempurnakan oleh Khalid Jamlus minit ke-55 dan V. Saravanan minit ke-89.

Perak kini mengumpul 33 mata selepas 16 perlawanan, tiga mata di depan Kedah.

Di Stadium Shah Alam, Selangor tidak langsung memberi ruang buat Kedah untuk memburu gol sebaliknya Red Giants mudah mendahului 3-0 pada babak pertama.

D. Surendran menjaringkan dua gol minit ke-15 dan 34 diikuti jaringan Rudie Ramli (29) dan P. Gunalan (47).

Pasukan pelawat mendapat gol sa-guhati menerusi James Monie minit ke-84.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, pasukan tuan rumah, Pahang menokok tiga mata selepas menumpaskan pasukan terbawah liga, Terengganu 2-1.

Begitupun, Pahang hampir tewas apabila dikejutkan dengan jaringan pendahuluan Terengganu oleh Alfian Abd. Aziz minit ke-60.

Ketika perlawanan berbaki dua minit, pemain kebangsaan, Juzaili Samion menyamakan kedudukan pada minit ke-88 sebelum pemain import, Cristiano Pinheiro Da Silva menggembirakan penyokong tuan rumah dengan gol kemenangan minit ke-90.

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah menambah duka Perlis yang tewas pada perlawanan akhir Piala FA lalu, dengan kemenangan 1-0.

Pemain import Sabah, Robert Mark Gaspar menanduk masuk gol tunggal perlawanan pada minit ke-74 untuk kemenangan ketujuh buat skuad Badak dan kekalahan keempat Perlis.

Bagaimanapun, kedua-dua pasukan berkongsi 25 mata.

Di Stadium Batu Kawan, jaringan Chaw Chee Weng pada minit terakhir perlawanan memberi kemenangan kelapan buat Pulau Pinang, menewaskan Telekom Melaka 3-2.

Pulau Pinang mendahului 2-0 menerusi jaringan Hasmawi Hassan (30) dan R. Suresh Kumar (32) tetapi pemain pelawat, Issac Kuffour mengikat kedudukan dengan dua gol (37 dan 52).

Di Stadium Pasir Gudang, Johor FC mengecewakan pasukan tangga ketiga sebelum ini, Sarawak dengan kemenangan 3-1.

Jon Ben Anggelucci terus menggegar jaring lawan dengan dua gol (60, 69) dan selepas gol pertama Johor FC dijaringkan Idris Karim (17).

Gol Sarawak dihasilkan oleh Robert Eshun (45).

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cyeaMr6c
© Utusan Melayu (M) Bhd

Bekas pemain kebangsaan dan Perak meninggal dunia



ARKIB : 01/05/2003
 
Bekas pemain kebangsaan dan Perak, Tajol Ariffin Razali, 48, meninggal dunia semasa beraksi dalam satu perlawanan persahabatan di Padang Kilat, Ipoh, kelmarin.

Allahyarham yang mewakili Kelab Veteran Tenaga Nasional Berhad (TNB) tiba-tiba rebah pada separuh masa kedua semasa menentang Kelab Veteran Polis.

Beberapa orang rakan sepasukannya cuba memberi pertolongan dengan memberi bantuan pernafasan (CPR) tetapi gagal dan dia meninggal dunia beberapa minit kemudian.

Tajol Ariffin yang bertugas dengan TNB mula mewakili Kelab Kilat pada awal tahun 1970-an.

Selepas itu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memanggilnya menganggotai skuad Malaysia B pada tahun 1977.

Selain itu, Tajol Ariffin turut menyarung jersi Perak dalam perlawanan Piala Malaysia dari tahun 1977 hingga 1983.

Selepas bersara, Allahyarham diberi kepercayaan oleh Persatuan Bola Sepak Perak (PFA) untuk melatih skuad Piala Presiden (1992-2000) dan Sukan Malaysia (Sukma) sejak beberapa tahun lalu.

Beliau pernah menjadi pembantu kepada jurulatih dari Jerman, Karl Heinz Weigang dalam Liga Perdana selama tiga tahun.

Pengurus Pasukan Perak, Datuk Jamal Nasir Rasdi, pemain skuad Liga Perdana Satu Perak, bekas jurulatih, Khaidir Buyong dan bekas rakan sepasukannya, Shukor Salleh, Isa Bakar, Baharin Khamis, Chong Yee Fatt dan Mohd. Zakaria Mohamed telah menziarahi jenazah Allahyarham.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4cuRXNnLc© Utusan Melayu (M) Bhd

Perak sambar RM40,000 - Aksi penjaga garisan cetus kecoh di Kota Bharu



ARKIB : 30/04/2003
PEMAIN Kelantan (berjersi merah) membantah keputusan pengadil yang tidak mengiktiraf jaringan gol ketiga pasukan itu dalam pertemuan Liga Perdana Satu menentang Perlis di Stadium Sultan Mohamed Iv, Kota Bharu, semalam. Keadaan ini hampir mencetuskan pergaduhan di antara kedua-dua pasukan. - Gambar ROSNI MASRI.

PERAK menyambar habuan RM40,000 selaku juara pusingan pertama bola sepak Liga Perdana Satu selepas mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas Melaka di Stadium Hang Tuah, semalam.

Selepas V. Saravanan melakukan hatrik ketika menentang Selangor Sabtu lalu, kali ini giliran Mohd. Khalid Jamlus menjaringkan tiga gol untuk membantu Perak terus gagah di tangga teratas liga.

Perak kini mengumpul 27 mata selepas 12 perlawanan di tempat teratas, tiga mata di depan pasukan tangga kedua, Perlis yang seri 2-2 di Kelantan dan meraih RM30,000.

Jaringan Khalid diperoleh pada minit ke-39, 53 dan 61 manakala dua gol Melaka dijaringkan oleh Mohd. Fauzzi Kassim (11) dan Mohd. Suffian Samsul Bahri (57).

Aksi di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu disulami kontroversi pada babak akhir perlawanan.

Kedua-dua pasukan terikat 2-2 sehingga waktu kecederaan tetapi Kelantan mendapat `gol kemenangan' yang tidak dikira oleh pengadil kerana ofsaid.

Jaringan Mohd. Hardi Ahmad tidak dikira selepas penjaga garisan, Mohd. Saat Hassan lebih dahulu mengangkat bendera kerana pemain itu berada dalam posisi ofsaid.

Bagaimanapun, pasukan Kelantan mendakwa seorang pemain Perlis masih berada dalam kotak penalti dan Hardi tidak berada dalam posisi ofsaid.

Jaringan Hardi pada mulanya disahkan oleh pengadil perlawanan, Danny Ong Kim Heng tetapi beliau kemudian membatalkannya selepas berunding dengan Mohd. Saat.

Pemain Kelantan yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu menyerbu Danny dan Mohd. Saat, malah pergaduhan hampir tercetus antara kedua-dua pasukan.

Setelah bermesyuarat hampir dua jam, jawatankuasa perlawanan akhirnya memutuskan perlawanan itu seri 2-2.

Keputusan itu juga menimbulkan rasa tidak puas hati kepada penyokong Kelantan yang bertindak membaling botol ke arah pemain Perlis.

Sebelum insiden itu, Kelantan mendahului 2-0 hasil jaringan Khairul Zal Azmie pada minit ke-47 dan Mohd. Hardi pada minit ke-59.

Perlis menyamakan kedudukan seminit kemudian hasil tandukan cantik Phillimon Chipeta dan pemain import itu menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-69.

Kedah gagal mengekalkan kedudukan tangga kedua selepas tewas 2-0 kepada Sabah di Stadium Darulaman, Alor Star untuk meraih RM27,500.

Josiah Seton dan Shahril Arsat menjadi pemusnah harapan Kedah dengan jaringan masing-masing pada minit ketujuh dan 12.

Sarawak pula melonjak ke tangga keempat untuk meraih RM25,000 selepas menang selesa 3-0 ke atas Terengganu di Stadium Sarawak di Kuching.

Gol-gol Sarawak dijaringkan oleh Robert Eshun minit ke-27 dan 29 dan Ramos Sari 71.

Pahang meraih habuan RM20,000 di tempat kelima walaupun tumbang 2-1 kepada Telekom Melaka di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Pasukan pelawat mendahului pada minit ke-43 menerusi jaringan Isaac Kuffour tetapi Cristiano Pinheiro Da Silva menyamakan kedudukan 10 minit kemudian.

Bagaimanapun, keriangan Pahang tidak lama apabila Faizal Esahar menjaringkan gol kemenangan Telekom Melaka pada minit ke-60.

Di Stadium Shah Alam, Selangor mencatat kemenangan ketiga musim ini dengan menewaskan Johor FC 1-0 menerusi jaringan Shahrin Majid pada minit ke-32.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0430&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cuPCtF8r© Utusan Melayu (M) Bhd